ALOR SETAR: Fenomena El Nino yang melanda Kedah ketika ini belum berakhir walaupun berlaku taburan hujan sejak awal minggu ini ekoran angin lemah dari pelbagai hala.
Pengarah Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Abd. Aziz berkata, faktor itu berpotensi menghasilkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang terutama di pedalaman termasuk pantai barat pada waktu petang dan malam di negeri ini.
“Hujan bukan petanda El Nino berakhir kerana fasa akhir Monsun Timur Laut mengakibatkan cuaca panas dan kurang hujan tidak semestinya tiada hujan langsung.
“Tetapi apabila lama tidak hujan, suhu maksimum harian akan naik mungkin lebih 35 darjah Celsius,” katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin.
Menurutnya, taburan hujan di negeri ini juga tidak berterusan, namun dijangka lebih banyak menjelang Mac dan April depan. – UTUSAN










