Hadap kontroversi? Maaf, saya tak suka - Aisha Retno - Utusan Malaysia

Hadap kontroversi? Maaf, saya tak suka – Aisha Retno

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANUGERAH Juara Lagu ke-38 yang bakal berlangsung minggu hadapan bakal menyaksikan penampilan sulung komposer dan penyanyi berbakat besar, Aisha Retno di pentas berprestij itu.

Pastinya hatinya kini dipenuhi bunga gugup sementelah, ramai yang meramalkan lagu, Sutera nyanyian mampu ‘menenggelamkan’ sebelas karya lain sekali gus merangkul kejuaraan lagu terbaik itu.

Namun dalam perjalanan menuju ke pentas, ada pula pelbagai dakwaan mengiringi. Penyusutan berat badannya dikatakan disebabkan penggunaan barang terlarang. Biarpun sudah menafikan, namun tetap ada impak buruknya.

Jawablah mendapatkan Aisha. Adakah penyebaran dakwaan tidak berasas itu dilihat sebagai cara menjatuhkan nama baiknya? Apatah lagi, dia kini dilihat sebagai penyanyi muda wanita yang berpotensi besar mencipta kejayaan.

Adakah juga gementar dan ketakutan ke pentas AJL38 menyebabkan dia mula tidak berselera makan dan terlalu fokus dengan latihan sehingga berat badannya susut mendadak? Aisha, jawablah!

J: Baru-baru ini, Aisha mendedahkan ada pihak yang menuduh Aisha terlibat dengan bahan terlarang dan sebagainya. Bila berdepan tuduhan sebegitu, apa perasaan Aisha terutama bila itu adalah satu fitnah.

A: Terkejut juga sebab ke mana pun saya pergi, pasti ada ibu atau ahli keluarga lain akan teman. Jadi, menuduh saya ambil barang terlarang itu sangat tidak masuk akal. Kalau makan pedas itu kira terlarang tak? (seloroh)

Cuma janganlah buat kenyataan, dakwaan sebegitu. Mereka tak kenal pun saya dan mungkin tidak mengikuti saya di media sosial. Bersangka baiklah dengan keadaan. Jangan sebab berat saya menyusut, terus fitnah bukan-bukan.

J: Ada yang cakap, Aisha sebenarnya suka bila ada orang cetus kontroversi sebab akhirnya ada juga isu sensasi?

A: Saya tak suka dengan kontroversi. Lebih baik saya fokus kepada kerjaya seni dan pencapaian. Peminat saya sentiasa mendoakan saya yang baik-baik. Kalau ada yang sebar dakwaan itu, saya tak tahu apa niat dia.

Tetapi saya sedar, hidup dalam dunia seni ini kita tak boleh halang dakwaan tidak benar akan disebarkan. Saya anggap ini onak duri dalam dunia seni. Saya berusaha sebaiknya untuk sampai ke tahap ini.

Kalau ada cakap saya suka dengan kontroversi murahan itu tidak benar sama sekali. Saya tidak pernah terfikir untuk menaikkan nama dengan cara yang mungkin tidak ‘sihat’ untuk nama saya satu hari nanti.

J: Persediaan AJL38 macam mana? Apa kerisauan terbesar? Adakah harapan yang diberikan peminat khususnya ramai yang meramalkan Sutera bakal Juara?

A: Alhamdulillah, kalau ada rezeki. Ini pertama kali saya ke pentas AJL. Saya mensyukuri semuanya dan setakat ini, saya gembira dengan perjalanan menuju ke pentas akhir. Sejujurnya, saya mahu cepat buat persembahan.

Saya nak balik, tengok semula persembahan dan perbaiki apa yang kurang. Memang itu satu bonus, tetapi saya sudah cukup gembira menjadi salah seorang finalis AJL. Itu juga sudah cukup besar pencapaian untuk saya yang masih baharu ini.

J: Kesihatan Aisha sekarang macam mana? Ada yang risau tengok Aisha kurus sangat? Takut terlalu stress, tak makan?

A: Setakat ini, Alhamdulillah. Semuanya baik-baik sahaja. Doa-doa anda adalah kunci kejayaan saya. Diharapkan kesihatan saya juga kekal baik sehingga AJL kelak. Gementar itu ada, tetapi saya mahu buat yang terbaik.

Untuk peminat dan diri saya sendiri. Kurus sangat? Sebab pendakap gigi. Rutin pemakanan sudah berubah, jadi sedikit sebanyak memberi impak kepada berat badan. Jangan fikir bukan-bukan!

J: Perancangan selepas ini? Selalunya selepas AJL, nama sedang panas ada artis pilih untuk launch lagu baharu atau album? Aisha pula bagaimana?

A: Insya-Allah, ada lagu raya bakal menyusul. Tak sabar! Saya juga akan terus mempromosikan album baharu yang dilancarkan November tahun lalu. Tetapi satu berita baik saya boleh kongsi, saya akan mengadakan sebuah persembahan berskala besar untuk peminat. Tunggu ya!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN