SEREMBAN: Ganjaran sebanyak RM10,000 akan diberikan kepada mana-mana pertubuhan belia di seluruh negara yang berjaya menganjurkan program dengan kreativiti sendiri tanpa bergantung kepada dana yang disediakan kerajaan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim berkata, ia sebagai satu cabaran kepada pertubuhan belia di peringkat akar umbi yang mempunyai inisiatif dan bermodalkan rendah dalam menganjurkan program bagi menarik minat belia berdaftar dengan persatuan.
“Kita mahu dengan program bermodalkan hanya RM1,000 tersebut, ia boleh menarik sekurang-kurangnya 1,000 belia berdaftar, jadi saya rasa mereka layak diberi ganjaran RM10,000 dan akan diberi pada tahun hadapan.
“Masalah utama yang dikenal pasti, banyak pertubuhan belia yang mahu menganjurkan program di peringkat akar umbi tetapi mereka bimbang dengan perbelanjaan kos yang tinggi tetapi jika mereka kreatif dan mampu menarik minat ramai, ia sebenarnya boleh dilaksanakan.
“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempunyai dana pengiktirafan dalam bentuk sokongan, tetapi kami mahu melihat mereka buat itu dahulu,” katanya pada Program Kembara Jumpa Orang Muda (JOM) Peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Mustapha Nagoor dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Zul Fadhli Abd. Aziz.
Negeri Sembilan menjadi lokasi kedua bagi Program Kembara Jumpa Orang Muda yang merupakan inisiatif KBS melalui Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) dan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) bertukar dan menyampaikan hasrat, pendapat dan pandangan pembangunan belia terutamanya berkaitan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) dan Pindaan 2019 (Akta A1602).
Sementara itu, dalam perkara berasingan, Adam Adli berkata, KBS bersetuju dengan cadangan penglibatan pertubuhan belia ke peringkat sekolah dalam turut sama menyumbang merit kepada pelajar dalam kokurikulum sekolah sedia ada.
“Berikutan itu, isu tersebut akan dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya bersetuju dengan cadangan yang diusulkan kerana ia salah satu usaha dalam memastikan kelangsungan penglibatan lebih aktif golongan belia sejajar dengan penetapan had umur 30 tahun bagi belia di Malaysia yang dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2026.
“Dulu model sebegitu contohnya menerusi Tunas Belia dilaksanakan 10 tahun lepas, namun kini KBS akan mencari mekanisme dan keperluan serta cara paling sesuai bagi membolehkan pertubuhan belia turut serta dalam aktiviti kokurikulum di sekolah, sama ada adakah penglibatan secara langsung ataupun secara berasingan,” katanya.-UTUSAN.











