JERANTUT: Walaupun mempunyai kelulusan baik dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tetapi gadis ini menolak tawaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) kerana ‘sudah jatuh cinta’ dengan projek tanaman anggur.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Sharifah Irdina Syed Norhaimi, 21, semuanya bermula selepas melihat projek tanaman anggur diusahakan ayahnya, Syed Norhaimi Syed Zin sejak tahun lalu berjaya sekali gus menjadi destinasi pelancongan baharu di bandar ini.
Menurut Sharifah atau terkenal jolokan ‘gadis anggur’ itu, dia menjadi pembantu sepenuh masa ayahnya bagi menjaga anggur yang diusahakan di Pusat Pertanian Temin (PPT) di sini.
“Projek tanaman anggur di PPT kini menjadi tumpuan pelancong tempatan. Setiap hari, tidak kurang 200 orang datang untuk melihat tanaman anggur sebanyak 20 jenis yang sedang berbuah lebat di sini.
“Kini saya tidak menang tangan melayan pelancong yang ingin tahu cara penanaman dan penjagaan anggur yang selama ini dianggap sebagai tanaman musim sejuk,” katanya ketika ditemui semalam.
Sharifah Irdina, anak bongsu daripada empat adik beradik berperanan sebagai pegawai perhubungan kepada pelancong tempatan di PPT terbabit.
Jelasnya, dia akan memberikan penerangan berkaitan cara-cara tanaman anggur dan kerjaya tersebut kini begitu diminatinya.
KAGUM
“Kebanyakan pelancongan yang hadir ke sini begitu kagum dan tidak menyangka tanaman anggur boleh hidup subur di negara beriklim khatulistiwa seperti Malaysia,” katanya.
Antara jenis anggur ditanam adalah Heliodor, Jubilee, Velez, Dixon, Rumba, Baikonur, Jupiter, Lorano, Beauty Krasotka, Krasava, Ninel, Banana, Golden Musqat, Faith dan Monte Cristo.
“Projek tanaman anggur di PPT bermula April 2022 dan kini pokok berusia setahun 10 bulan ini sudah dua kali berbuah dan cukup manis,” katanya.
Sharifah Irdina berkata, fokusnya pada ketika ini adalah bagi melaksanakan projek tanaman anggur berskala besar di PPT kerana terbukti tanaman itu boleh hidup subur walaupun cuaca panas.
Menurutnya, lebih menarik keluarganya turut menawarkan masakan berasaskan anggur antaranya seperti nasi goreng anggur, laksa anggur dan sambal anggur.- UTUSAN








