Felda perlu fokus perniagaan teras, tingkat keluaran kelapa sawit

Felda perlu fokus perniagaan teras, tingkat keluaran kelapa sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) perlu fokus pada perniagaan terasnya dengan memanfaatkan hampir 800,000 hektar tanah untuk meningkatkan pengeluaran kelapa sawit negara.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Felda tidak boleh keluar daripada aktiviti yang tidak ada kena mengena dengan kelapa sawit kerana kepakarannya adalah dalam bidang tersebut.

“Kita kena fokus dan Felda tidak boleh lagi terlibat dalam macam-macam benda, mahu buat gula, hotel. Bukan tak boleh, kita buat benda-benda itu bila kita ada tunai tambahan.

“Tapi kita ada hutang dan (jika) kita tak tumpukan pada perniagaan teras, kita akan berdepan banyak masalah apabila hutang-hutang ini perlu dibayar. Akhirnya kita terpaksa jual balik hotel, tengah cari siapa yang nak beli kilang gula.

“Sebab itu bukan kepakaran kita. Kepakaran kita ialah kelapa sawit dan Felda ini memang terbukti merupakan pengendali tanaman kelapa sawit yang paling efisien dahulu. Hari ini, orang lain yang datang kemudian jadi juara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Simposium FELDA 2024 sempena Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Menara Felda di sini, semalam.

Tambah Johari, Felda juga perlu meneroka bidang teknologi baharu dalam pengurusan ladang mereka.

“Bila ada banyak teknologi, kita dapat keluarkan hasil lebih bagus. Bermula dari cara penanaman, penjagaan dalam tiga tahun. Pemantauan dron, dari warna daun pun, kita boleh nampak apa nutrien yang kurang.

“Akhirnya, kita kena lihat perladangan sebagai satu konsep perniagaan,” ujarnya.

Mengenai tanah milik Felda, beliau berkata, jumlah tersebut adalah yang terbesar bagi Felda dalam konteks kelapa sawit dan pasti memberi manfaat yang besar jika dikendalikan dengan baik.

Katanya, Felda perlu melihat secara jangka masa panjang bagaimana untuk memanfaatkan tanah yang luas itu supaya ia menghasilkan manfaat kepada negara.

“Jika Felda boleh (konsisten) hasilkan 18 tan metrik setiap hektar, kita boleh jadi pengeluar CPO (minyak sawit mentah) terbesar iaitu 2.8 juta tan metrik.

“Dengan harga kelapa sawit hari ini iaitu RM4,000 (per tan metrik), kalau keuntungannya RM1,000 (per tan metrik), kita boleh jana keuntungan RM2.8 bilion.

“Bayangkan jika harga naik sehingga RM5,000 hingga RM6,000 (per tan metrik). Berapa banyak lagi untung? Kita kena tengok perladangan ini sebagai satu konsep perniagaan, apatah lagi ketika dunia berdepan dengan masalah keselamatan makanan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN