TANGKAK: Dua maut, manakala seorang cedera dalam kemalangan dua kenderaan berhampiran Institut Latihan Perindustrian, Jalan Sagil-Jementah, pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superitenden Roslan Mohd Talib, kemalangan terbabit melibatkan sebuah Suzuki Vitara dan sebuah Mitsubishi Grandis yang sedang menghala ke Plaza Tol Tangkak.
“Sampai di tempat kejadian, tiba-tiba Mitsubishi Grandis hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah Suzuki Vitara yang sedang dalam perjalanan dari Tangkak.
“Akibat pelanggaran tersebut, pemandu serta penumpang Suzuki Vitara meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu Mitsubishi Grandis mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mangsa yang maut ialah Ng Kok Fern, 64, seorang pekebun, manakala identiti seorang lagi mangsa belum dapat dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan di lokasi kejadian.
Pemandu Mitsubishi Grandis, Wong Shi Yong, 24, pekerja swasta mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan badan serta dihantar ke Hospital Tangkak untuk menerima rawatan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Penolong Penguasa Rafiah Aziz, kemalangan dipercayai berlaku pada pukul 7.29 pagi.
“Terdapat dua orang mangsa di dalam kereta jenis Suzuki Vitara tersepit dan dikeluarkan menggunakan peralatan khas. Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan di tempat kejadian,” katanya sambil memaklumkan operasi tamat pada pukul 8.41 pagi. – UTUSAN










