BENTONG: Dua lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pekerja kebun durian pada 20 Januari lalu.
Tertuduh Aung Naing Tun,31, dan Ai Kyaw Lin Tun,26, hanya tunduk selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nadhratun Naiem Zainan.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan pada kira-kira pukul 2 pagi hingga 8.45 pagi pada 20 Januari lalu di sebuah pondok di Lot 2866 Jalan Chamang, Bentong kedua-dua suspek telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Ai Kyaw Htin,29.
Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama.
Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara untuk tempoh tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi daripada 40 tahun.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M. Zamharir Muhammad Zuhid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 9 Februari depan termasuk melantik jurubahasa.










