Dua lelaki didenda RM9,000 curi 12 ekor lembu - Utusan Malaysia

Dua lelaki didenda RM9,000 curi 12 ekor lembu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Dua lelaki dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM9,000 setelah mereka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bahau, di sini, hari ini atas tuduhan mencuri 12 ekor lembu di kawasan Felda Pasoh 3, di sini bulan lalu.

Tertuduh Tengku Adam Azizi Tengku Ismail, 45, dan Mohd. Hairulhisam Md Noh, 42, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Norshazwani Ishak.

Berdasarkan pertuduhan bersama, mereka didapati telah mencuri 12 ekor lembu milik seorang lelaki kira-kira pukul 3 petang di kebun sawit Felda Pasoh 3, Batu Kikir, pada 27 Januari lalu.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 

Bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian boleh dihukum penjara dan denda atau sebat.

Dalam pada itu, Tengku Adam Azizi turut berhadapan dengan satu lagi tuduhan memindahkan harta curi iaitu enam ekor lembu milik seorang lelaki dengan menjual kepada pembeli.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh telah didenda sebanyak RM4,000 dan sekiranya gagal menjelaskan bayaran berkenaan dipenjara dua bulan.

Perbuatan itu dilakukan di kandang lembu di belakang rumah di Kampung Serting Tengah, Jempol kira-kira pukul 5 petang, 29 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu telah mendapati 12 ekor lembunya hilang kira-kira pukul 5 petang, pada 28 Januari lalu dan terdapat saksi yang melihat tertuduh pertama menyumpit 12 ekor lembu berkenaan di kawasan kebun sawit Felda Pasoh 3.

Selepas menyumpit, kedua-dua tertuduh telah menolak lembu masuk ke dalam lori di mana pada hari pertama sebanyak lapan lembu diikuti empat lembu hari kedua.

Pengadu yang kerugian sebanyak RM 35,000 mengecam lembu miliknya berdasarkan kesan lubang pada telinga lembu.

Enam lembu telah dijual kepada seorang lelaki pada 29 Januari lalu dengan harga RM13,200 dan hasil pandu arah oleh tertuduh sendiri, polis telah merampas RM11,000 di rumah tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farahidah Zool Beri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada 1 Februari lalu, media melaporkan polis berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri lembu di daerah ini dengan tertangkapnya dua individu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN