Bot rosak, hanyut, tiga warga emas diselamatkan - Utusan Malaysia

Bot rosak, hanyut, tiga warga emas diselamatkan

TIGA pemancing diselamatkan Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Mersing selepas bot rosak ketika memancing di perairan Pulau Hujung.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Tiga sahabat mengalami detik cemas apabila bot mereka rosak dan hanyut ketika memancing di perairan Pulau Hujung, semalam. 

Namun, kesemua warga emas itu bernasib baik apabila berjaya diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 2, Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah berkata, tiga mangsa berusia dalam lingkungan 60-an itu dilaporkan keluar memancing kelmarin.

“Pada kejadian tersebut salah seorang mangsa telah menghubungi rakannya di darat memaklumkan bot fiber berenjin 85 HP mereka telah rosak dan hanyut. Namun, kesemua mangsa telah berjaya mendarat di pantai Pulau Hujung dan naik ke pulau untuk berlindung.

“Rakan mangsa telah membuat laporan untuk meminta bantuan pihak Polis Marin Mersing untuk menyelamatkan tiga rakannya itu. Polis Marin Mersing telah diarahkan pergi ke lokasi tersebut dan menemukan tiga orang mangsa yang berada kira-kira 300 meter dari pantai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Oleh kerana keadaan air masih cetek dan berbatu, bot tidak dapat merapat ke pesisir pantai. 

Seorang anggota bot ronda telah berenang ke pantai dengan memakai jaket keselamatan dan ketiga-tiga mangsa kemudian dipakaikan jaket keselamatan untuk menaiki bot. 

“Semua mangsa dalam keadaan selamat telah dibawa pulang ke jeti Markas Pasukan Polis Marin Mersing tanpa sebarang kecederaan.

“PPM Wilayah 2 menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dan berhati-hati jika keluar ke laut semasa Monsun Timur Laut kerana keadaan laut yang bergelora dan berbahaya kepada bot-bot yang bersaiz kecil,” katanya. –  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN