SHAH ALAM: Perbicaraan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung pertuduhan menghasut akan dijalankan di Mahkamah Tinggi, di sini susulan mahkamah itu membenarkan permohonan tersebut semalam.
Keputusan tersebut dibuat Hakim Datuk Aslam Zainudin selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu memohon prosidingnya di Mahkamah Sesyen Selayang dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
“Selepas meneliti hujahan bertulis, afidavit sokongan, notis usul dan hujahan lisan kedua-dua belah pihak iaitu pemohon dan responden, mahkamah ini membenarkan permohonan pemohon untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi,” katanya.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Muhammad Sanusi, 50, selaku pemohon untuk memindahkan kes itu.
Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berdepan dua pertuduhan menghasut selepas mengeluarkan perkataan bersifat sedemikian dalam ceramahnya dekat Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pukul 11 malam pada 11 Julai 2023.
Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 11 Januari lalu, Muhammad Sanusi mengemukakan permohonan untuk memindahkan kes dan menggantung perbicaraan di Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi di sini.
Alasan permohonan dibuat ialah, perbicaraan yang saksama tidak dapat dijalankan di mahkamah rendah selain mungkin berlaku kesulitan di sisi undang-undang.
Pembelaan berkata, perbicaraan di mahkamah tinggi akan memudahkan rujukan dalam isu undang-undang yang rumit, yang mana kehakiman itu mempunyai keupayaan untuk memutuskan perkara itu.
Pihak pendakwaan selaku responden dalam hujahan secara bertulis menyatakan, Hakim Mahkamah Sesyen adalah kompeten dan berwibawa untuk mengendalikan perbicaraan kes jenayah.
Berdasarkan afidavit jawapan terhadap permohonan Muhammad Sanusi, pihak pendakwaan berkata kes itu tidak melibatkan persoalan undang-undang yang sukar atau kompleks seperti yang didakwa oleh pihak pemohon.
Sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen Selayang Nor Rajiah Mat Zin menetapkan tarikh perbicaraan pada 5, 8, 9, 13, 15, 16,19, 22 dan 23 Februari serta 11, 15 dan 18 Mac.










