JEMPOL: Akibat daripada perselisihan faham di tempat makan, lapan lelaki didenda sebanyak RM2,500 setiap seorang di Mahkamah Majistret Bahau, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas kesalahan merusuh dalam kejadian di pekan Jelai, di sini, Ahad lalu.
Tertuduh, B. Suresh, 39; S. Sekaran Nair, 25; S. Sathiya, 24; How Kim Keng, 28; How Kim Loon, 27; How Kim Hing, 21; M. Murugan, 35 dan M. K Dhanushwaran, 20, yang kesemuanya tidak diwakili peguam membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Norshazwani Ishak.
Majistret turut menetapkan sebulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan bersama, kesemua lapan tertuduh bersama dua individu yang masih bebas telah didapati menyertai satu rusuhan di mana mereka telah mencederakan sesama sendiri dalam pergaduhan tersebut.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 4.30 pagi, di pekan Jelai, Bahau, pada 4 Februari lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 147, Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, semasa pengadu bersama empat orang lelaki sedang minum minuman keras di pekan Jelai telah didatangi sekumpulan lelaki dikenali dan berlaku pergaduhan kerana telah berlaku perselisihan faham di sebuah kedai di Taman Meranti.
Kesemuanya mengaku bergaduh di tempat awam menggunakan tangan dan beberapa suspek telah mengalami kecederaan di bahagian belakang leher serta muka serta lain-lain bahagian badan.
Kesemua tertuduh dalam rayuan mereka menyatakan mempunyai tanggungan selain menyesal dengan perbuatan merusuh tersebut.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Farahidah Zool Beri memohon hukuman setimpal berikutan kejadian berlaku pada pukul 4.30 pagi di tempat awam dan telah mengganggu ketenteraman awam.-UTUSAN.










