Bekas CEO didakwa pindah wang RM116 juta kepada syarikat pasaran modal tanpa lesen - Utusan Malaysia

Bekas CEO didakwa pindah wang RM116 juta kepada syarikat pasaran modal tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat pelaburan sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memindahkan wang berjumlah RM116 juta kepada sebuah syarikat yang melakukan aktiviti pasaran modal tanpa lesen.

Syaiful Riezal Ahmad, 51, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Mengikut pertuduhan, Syaiful Riezal iaitu CEO Infinity Trustee Berhad, didakwa memindahkan wang berjumlah RM116,292,904.15 daripada akaun semasa Affin Bank milik syarikat itu ke akaun semasa CIMB bank milik syarikat Pixelvest Sdn. Bhd.

Pemindahan itu didakwa bagi melanjutkan perlakuan salah oleh Pixelvest yang menjalankan suatu urusan dalam aktiviti terkawal iaitu pengurusan kumpulan wang, sedangkan syarikat itu (Pixelvest) bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan di Affin Bank Berhad Cawangan PJ State di Petaling Jaya antara 1 Disember 2020 dan 28 Julai 2022 dan di Alliance Bank Malaysia Berhad Cawangan SS2, Petaling Jaya antara 12 Ogos 2022 dan 11 Oktober 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) dibaca bersama dengan perenggan 370(b) dan subseksyen 367(1) akta sama.

Dia boleh dihukum di bawah Subseksyen 58(4) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, bekas pengarah Pixelvest, Ang Jen Chuen, 33, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menjalankan suatu urusan dalam aktiviti terkawal iaitu pengurusan kumpulan wang sedangkan syarikat tersebut bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Emporis SOHO, Taman Sains Selangor di Petaling Jaya, antara 15 Disember 2020 dan 15 Julai 2022 mengikut subseksyen yang sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti (SC) Muhammad Izzat Fauzan memohon dua lelaki itu masing-masing diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan mereka perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SC sebulan sekali.

Peguam Md. Yunos Shariff memohon anak guamnya dikenakan jaminan rendah manakala Jen Chuen yang tidak diwakili peguam merayu mohon jaminan rendah.

Mahkamah membenarkan Syaiful Riezal diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin manakala Jen Chuen diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan kedua-dua kes itu disebut pada 26 Mac ini.

Pada 10 Januari lalu, Syaiful Riezal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram membabitkan lebih RM2 juta manakala Jen Chuen didakwa atas lapan pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah lebih RM116 juta.

Sementara, pada prosiding berlainan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azrul Darus hari ini, seorang lagi bekas pengarah syarikat Pixelvest, Chin Wai Lan, 50, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menjalankan suatu urusan dalam aktiviti terkawal iaitu pengurusan kumpulan wang, sedangkan syarikat tersebut bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dilokasi sama antara 15 Julai 2022 dan 31 Ogos 2022 mengikut subseksyen sama.

Muhammad Izzat menawarkan jaminan RM250,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SC sebulan sekali.

Peguam Datuk Tan Hock Chuan mewakili Wai Lan memohon mahkamah mengguna pakai jaminan yang dikenakan terhadap anak guamnya sebelum ini.

Azrul menolak permohonan peguam itu dan menetapkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta membenarkan syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.

Wai Lan didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini pada 11 Januari lalu atas 17 pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah lebih RM160 juta.

ends.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN