JEMPOL: Seorang anggota tentera parah manakala seorang lagi cedera apabila trak tentera yang dinaiki mereka terbabas dalam kejadian di Jalan Besar Palong 7, 8- Palong 4,5,6, di sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, pemandu trak berusia 21 tahun dan penumpang berusia 38 tahun itu baru selesai menjalani latihan di Kem Batu 10, Kuantan, Pahang dan bergerak pulang ke Kem Sungai Udang, Melaka.
Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian semasa traj bergerak terus dengan membawa bekalan makanan dan peralatan dapur, tiba-tiba telah hilang kawalan lalu terbabas melanggar sebatang tiang elektrik dan terbabas masuk ke bahu jalan sebelah kiri.
“Akibat daripada kemalangan tersebut, pemandu trak tentera itu telah mengalami kecederaan parah iaitu patah bahu kiri dan cedera di kaki manakala penumpang hadapan mengalami luka-luka dibahagian tangan dan kaki.
“Kedua-duanya dikejarkan ke Hospital Jempol untuk menerima rawatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, polis meminta agar saksi kejadian berkenaan supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol, Inspektor Mohd. Amirul Syafiq Mohd. Yusof di nombor 016-2348669 bagi membantu siasatan.-UTUSAN.










