Warga emas maut, kereta dipandu langgar treler selepas terbabas - Utusan Malaysia

Warga emas maut, kereta dipandu langgar treler selepas terbabas

KEADAAN lokasi kejadian kemalangan di antara sebuah treler dan kereta di Kilometer 3, Jalan Sungai Dua-Air Kuning Selatan, Tampin, petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Seorang pesara Majlis Daerah Tampin (MDT) maut selepas kereta yang dipandunya terbabit nahas dengan sebuah treler dalam kejadian di Kilometer 3, Jalan Sungai Dua-Air Kuning Selatan, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa, Roselan Ahmad, 65, disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintenden Amiruddien Sariman, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku semasa treler itu dalam perjalanan dari arah Air Kuning Selatan menghala ke Sungai Dua.

“Apabila sampai di tempat kejadian tiba-tiba sebuah kereta dari arah bertentangan telah terbabas ke bahu jalan lalu hilang kawalan dan memasuki ke laluan treler tersebut.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk urusan bedah hari ini untuk mengetahui punca kematian,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Menurutnya, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan masih diteruskan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemencheh, Norfaizal Ahmad berkata, sebaik menerima maklumat, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dikejarkan ke lokasi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori treler tanpa muatan dan sebuah kereta jenis Toyota Altis.

“Terdapat seorang mangsa iaitu pemandu kereta telah tersepit dan PKO mengambil masa kira-kira 10 minit bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit manakala pemandu treler pula selamat,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN