KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan menegaskan agar masyarakat tidak mudah untuk mempercayai permainan ‘tidak matang’ dalam dunia politik berhubung dengan agenda pembangkang yang ingin menjatuh Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, beliau pernah berhadapan dengan situasi sebegitu apabila pelbagai pihak termasuk warga asing mengakui mereka mempunyai jumlah akuan bersumpah (SD) bagi mengambil alih kerajaan negara ini.
Beliau yang juga merupakan ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, lebih memusykilkan lagi bagaimana warga asing juga boleh mengakui mereka mempunyai kuasa menjadi pemimpin Malaysia.
“Saya sebelum ini pernah berjumpa dengan kenalan lama saya yang juga merupakan warga Filipina dan dia mengakui sudah mempunyai 120 SD untuk menjadi kerajaan .
“Justeru saya menmpersoalkan bagaimana mereka yang merupakan bukan warganegara Malaysia mempunyai SD mencukupi untuk menumbangkan kerajaan yang ada,” katanya selepas menghadiri sesi taklimat bersama SME Corporation Malaysia (SME Corp) semalam.
Oleh itu, kata beliau,sekiranya terdapat mana-mana pihak berkata sedemikian, maka beliau mencabar mereka untuk membuktikan perkara itu di Parlimen dan bukan setakat bercakap kosong.
Baru-baru ini, pihak pembangkang Perikatan Nasional (PN) mendakwa parti itu sudah mempunyai jumlah akuan bersumpah (SD) yang mencukupi bagi menumbangkan Kerajaan Perpaduan terkini.
Menurut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata bagaimanapun jumlah SD yang diperolehi tidak didedahkan secara terperinci setakat ini.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga merupakan Pengerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) berkata, MITRA tidak perlu membentangkan audit berkenaan dana yang diperuntukkan bagi badan tersebut.
Jelasnya,orang ramai boleh mendapatkan maklumat berkenaan ke mana perginya hala tuju dana tersebut dengan menyemak laman sesawang www.gov.my.
Namun begitu, bagi bahagian geran, MITRA masih belum mendedahkan lagi senarai peserta di laman sesawang itu.
Sehubungan itu, kata beliau , audit bagi dana MITRA tahun 2023, akan dilaksanakan pada tahun ini.











