Tiada rakyat Malaysia jadi askar upahan Rusia - KPN - Utusan Malaysia

Tiada rakyat Malaysia jadi askar upahan Rusia – KPN

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mengesan sebarang penglibatan rakyat Malaysia didakwa menjadi askar upahan di mana-mana negara termasuk berperang bersama tentera Rusia di wilayah Donetsk di timur Ukraine.

Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, semakan lanjut telah dilakukan Bahagian Cawangan Khas, Bukit Aman dengan rakan sejawat di negara Eropah namun tiada maklumat diterima setakat ini seperti yang dilaporkan sebuah portal media.

Kata beliau, askar upahan ini tidak boleh dianggap sebagai pengganas memandangkan mereka ini berkemungkinan mewakili sesebuah negara dan bukan organisasi yang berteraskan keganasan.

“Tiada maklumat, rakyat kita diupah jadi tentera di mana-mana negara seperti yang dilaporkan,” katanya di sini.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, PDRM sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana rakyat negara ini yang didapati menjadi askar upahan atau pengganas untuk menperang di mana-mana negara bergolak.

Tegas beliau, tindakan tegas boleh diambil di bawah Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015 (SMATA) terhadap mana-mana rakyat negara ini yang kita kesan terlibat dalam aktiviti keganasan.

“Kita (PDRM) akan sentiasa bertukar maklumat dengan pihak kerajaan dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), jika ada rakyat kita dikesan jadi pengganas atau askar upahan, pasport mereka akan dibatalkan.

“Ingin ditegaskan, Malaysia sama sekali tidak menyokong askar upahan atau membenarkan mana-mana rakyat kita pergi ke kawasan pergolakan untuk berperang,” jelasnya.

Terdahulu, satu laporan tentera Ukraine mendakwa terdapat rakyat Malaysia antara askar upahan yang berperang bersama tentera Rusia di wilayah Donetsk di timur Ukraine.

Tentera Rusia dan sekutunya kini menguasai sebahagian besar Donetsk sejak 2014, selepas protes demokrasi besar-besaran di negara itu membawa kepada konflik perang saudara.

Dakwa notis ringkas oleh Pusat Pejuang Penentang Kebangsaan Ukraine, Rusia terus mengambil tentera upahan dari beberapa negara di seluruh dunia untuk meneruskan dasar keganasan mereka,” kata notis ringkas oleh Pusat Pejuang Penentang Kebangsaan Ukraine.

“Askar upahan dari Malaysia ditemani penterjemah, termasuk bekas anggota kumpulan Wagner dilihat di wilayah Donetsk yang dikuasai Rusia.

“Pejuang itu ketika ini sedang menjalani latihan. Pusat Pejuang Penentang Kebangsaan memberi amaran sesiapa bersama Rusia menentang Ukraine adalah sasaran ketenteraan,”dakwa laporan itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN