KUALA LUMPUR: Tiada rakyat Palestin di Gaza terlepas daripada kekejaman dan serangan dilakukan Israel sejak konflik tercetus pada 7 Oktober lalu.
Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, kekejaman berterusan Israel menyebabkan seluruh rakyat Palestin sengsara dengan kecederaan dan maut tanpa mengira ideologi politik atau di mana mereka berada.
Menurut beliau, Palestin sudah lebih tujuh abad bergelut dengan tindakan Israel yang tidak berkemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa sambil disaksikan oleh komuniti antarabangsa.
“Israel secara terus menerus melakukan jenayah mereka terhadap rakyat Palestin tanpa mengira ideologi politik atau di mana mereka berada. Tiada yang akan terselamat daripada kekejaman rejim Zionis. Rakyat Palestin yang baik akan sentiasa dianggap penjahat oleh Israel.
“Sejarah antara Palestin dan Israel bukan bermula pada 7 Oktober lalu tetapi ia bermula sejak penubuhan negara rejim Zionis itu iaitu pada tahun 1948, di mana mereka menganggap 15 Mei adalah hari kemerdekaan mereka, hari tersebut dianggap oleh kami sebagai hari bermulanya kesengsaraan rakyat Palestin,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya, di sini.
Melalui laporan harian mengenai kesan pencerobohan Israel di Palestin setakat 2 Januari yang diperoleh Utusan Malaysia mendapati sebanyak 21,978 rakyat Palestin maut iaitu 21,978 (Gaza) dan 323 (Tebing Barat).
Daripada jumlah tersebut sebanyak 8,663 kanak-kanak maut, wanita (6,200) dan warga emas (695).
Mengulas lanjut, Walid Abu berkata, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) diakui memberi sokongan kepada Palestin namun dilihat tidak bersatu.
“Jika semua negara Islam boleh bersatu, mereka mampu memainkan peranan untuk mempengaruhi komuniti antarabangsa untuk menghentikan tindakan Israel yang melakukan genosid terhadap Palestin,” kata beliau.- UTUSAN










