Tertuduh Geng Upik beritahu mahkamah `tidak mampu upah peguam’ - Utusan Malaysia

Tertuduh Geng Upik beritahu mahkamah `tidak mampu upah peguam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: ‘Saya tiada kemampuan  (upah peguam)’. Itu jawapan salah seorang tertuduh dalam kes jenayah terancang ‘Geng Upik’ di Mahkamah Sesyen, hari ini.

Tertuduh kesebelas, Mahathir Jibarail, 49, memberitahu mahkamah bahawa dia tidak mempunyai kemampuan untuk mengupah peguam bagi mewakilinya dalam kes berkenaan.

Tertuduh yang memakai kameja-T berwarna kuning dan berseluar hitam itu kelihatan sugul semasa memberitahu jurubahasa mahkamah berhubung  tiada wang untuk mengupah peguam.

Selain Mahathir, tertuduh kelima yang dipercayai ketua ‘Geng Upik’ Datuk Maslan Sani, 41, turut hadir tanpa diwakili peguam.

Maslan memberitahu mahkamah bahawa dia mempunyai peguam yang mewakilinya di Kuala Lumpur.

Kedua-dua tertuduh bersama sembilan individu lain didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Upik’ antara tahun 2015 hingga 24 Disember 2023.

Atas kesalahan itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan [Akta 574] dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun atau tidak lebih 20 tahun.

Sementara itu, empat tertuduh lain juga tidak diwakili peguam iaitu Rahman Burijin,44; Nelson Yen Yee Chung,46; Alkan Abraham, 35; dan Mazlan Mahmud,49.

Lima tertuduh lain yang diwakili peguam adalah Jaisalfian Jaineh @ Zaini,45, di wakili Mohd. Amirul Amin; Mohd. Fauzie Rablin,33, diwakili Sylvester Kuan; manakala, Shahlan Shah Abdul Samad,37; Mohd. Faridzul Asmahadi,31, dan Fazrul Bahar,32, diwakili Shahlan Jufri dan Mohd. Lokman Zabidi.

Tiada pengakuan direkodkan semasa pertuduhan dibacakan dan Hakim, Noor Hafizah Mohd. Salim menetapkan 1 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nazran Mohd. Sham dan Siti Hajar Mat Radzi dan Nur Ainaa Ridzwan.

Sebelum ini, PDRM melaporkan seorang ketua sindiket dadah bergelar Datuk bersama 10 individu ditahan kerana dipercayai terlibat dalam menjalankan kegiatan pengedaran dadah di luar Sabah sejak lebih daripada lapan tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN