SPRM teliti sumber semua aset Mirzan

SPRM teliti sumber semua aset Mirzan

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan pengisytiharan segala aset alih dan tidak alih milik ahli perniagaan Mirzan Mahathir kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat bagi membolehkan penelitian dila­kukan terhadap bagaimana sumber aset itu diperoleh.

Pengisytiharan aset itu difahamkan mempunyai kaitan dengan siasatan dilakukan SPRM berhubung pengambilalihan saham dikaitkan dengan Mirzan di dalam Konsortium Perkapalan Berhad (KPB) pada 1990 dikatakan di bawah harga pasaran.

Difahamkan, Mirzan didakwa telah memperolehi 60 peratus saham dalam KPB yang ketika itu adalah syarikat pengangkut kontena bersaiz sederhana sebelum sahamnya mencapai 72 peratus tahun berikutnya.

MENGUNTUNGKAN

Dalam tempoh tiga tahun, Mirzan juga didakwa membeli syarikat perkapalan yang sangat menguntungkan iaitu Perbadanan Nasional Shipping Line (PNSL Bhd) dengan mengambil alih saham dari pemegang saham terbesar syarikat pegangan kerajaan.

Kemudiannya, Mirzan juga didakwa telah membeli 20 pera­tus pegangan dalam syarikat pengangkutan kontena ketiga terbesar di Malaysia.

Urus niaga yang dilakukan Mirzan telah menghadapi masalah menyebabkan syarikat berkenaan kemudiannya dise­lamatkan (bail-out) oleh sebuah syarikat gergasi petroleum sewaktu krisis ekonomi pada tahun 1998 yang ketika itu Tun Dr. Mahathir Mohamad, merupakan Perdana Menteri.

Sementara itu, satu sumber memberitahu, fokus siasatan yang dilakukan SPRM ketika ini adalah bagi mengetahui aset-aset dan pelaburan yang dikaitkan dengan ahli perniagaan itu kemungkinan ia hasil daripada projek-projek kerajaan.

Sumber itu berkata, SPRM namun masih menunggu senarai aset-aset berkenaan untuk dinyatakan.

MENGESAN

“SPRM masih dalam penelitian untuk mengesan aset-aset yang dikaitkan,” jelas sumber itu.

Semalam, SPRM mengesahkan ahli perniagaan, itu telah hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pukul 9.39 pagi kelmarin untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Satu perintah notis telah di­sampaikan SPRM di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 kelmarin kepada beliau untuk melakukan pengisytiharan aset miliknya dalam tempoh 30 hari.

Perintah ini adalah tindakan lanjutan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembia­yaan Keganasan dan Hasil Dari­pada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

SPRM mengesahkan siasatan telah dimulakan sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti yang berkait dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora juga Kertas Panama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×