SPRM, Arab Saudi teroka kerjasama perangi rasuah - Utusan Malaysia

SPRM, Arab Saudi teroka kerjasama perangi rasuah

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki (kanan) bersama Presiden NAZAHA, Mazin Ibrahim M. Al-Kahmous.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pihak Berkuasa Pengawasan dan Pencegahan Rasuah Arab Saudi (NAZAHA Arab Saudi) akan meneroka ruang kerjasama membabitkan perkongsian kepakaran serta pengalaman dalam memerangi rasuah di peringkat global.

Persetujuan kerjasama itu dicapai apabila Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Presiden NAZAHA Arab Saudi, Mazin Ibrahim M. Al-Kahmous, semalam.

Menerusi perjanjian itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam aspek pertukaran maklumat dan penyertaan dalam program pencegahan rasuah termasuk bantuan teknikal.

Azam dalam ucapannya berharap MoU tersebut dapat mengukuhkan jalinan kerjasama dan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

“SPRM bercadang untuk mengadakan lawatan rasmi ke NAZAHA  tahun ini bagi perbincangan lanjut serta perkongsian pengalaman,” katanya.

Hadir sama Duta Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Al-Sulaim; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali serta Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, Datuk Mohd. Hafaz Nazar.

Sementara itu, Mazin Ibrahim dalam ucapannya menghargai SPRM atas jalinan kerjasama melalui MoU itu dan memaklumkan bahawa Kerajaan Arab Saudi komited dalam membanteras jenayah rasuah tanpa toleransi melalui beberapa inisiatif utama. 

Menurutnya, antara inisiatif tersebut ialah  Inisiatif Riyadh yang dikenali sebagai Globe I Network bertujuan untuk mewujudkan rangkaian operasi global dalam kalangan agensi anti rasuah bagi memudahkan pertukaran maklumat dan program pembangunan modal insan.

“Sehingga kini, sebanyak 191 agensi antirasuah daripada 150 buah negara telah menyertai rangkaian tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mazin Ibrahim turut memaklumkan bahawa NAZAHA telah membangunkan inisiatif global untuk mengukur kadar rasuah yang mengambil kira perbezaan politik dan undang-undang setiap negara.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan SPRM untuk mendapat manfaat melalui inisiatif tersebut yang akan dilaksanakan selari dengan Prinsip Vienna ke arah rangka kerja global untuk mengukur kadar rasuah.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya