Seramai 120 penuntut dipilih perintis Fakulti AI - Utusan Malaysia

Seramai 120 penuntut dipilih perintis Fakulti AI

AHMAD FAUZI Ismail (tengah) bergambar bersama-sama kakitangan UTM serta Majlis Perwakilan Pelajar selepas Majlis Amanat Naib Canselor Tahun 2024 di Dewan Sultan Iskandar, UTM, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 120 mahasiswa akan dipilih untuk menjadi kumpulan perintis bagi mengikuti pengajian sarjana muda di Fakulti Kecerdasan Buatan (AI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang pertama seumpamanya dalam negara.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, pengajian selama tiga tahun di Kampus UTM di Kuala Lumpur itu bermula pada sesi akademik 2024/2025, Oktober ini.

Katanya, Fakulti AI itu bersifat ‘multi-discipline’ dengan melibatkan kepakaran dalam pelbagai bidang seperti Fakulti Komputeran, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Awam, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Fakulti Pengurusan dan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak.

“Terima kasih diucapkan kepada Perdana Menteri kerana memberikan kepercayaan kepada UTM menjadi universiti pertama menawarkan program di Fakulti AI ini. Sebagai perintis, kita akan menjemput penyelidik dari universiti awam lain yang mempunyai kepakaran tersendiri, misalnya Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang perubatan dan kita boleh buat penyelidikan bersama di situ,” katanya selepas Majlis Amanat Naib Canselor Tahun 2024 di Dewan Sultan Iskandar, di sini hari ini.

Majlis yang diadakan secara lintas langsung bersama kakitangan UTM Kampus Kuala Lumpur dan UTM Pagoh melibatkan kira-kira lebih 3,700 orang.

Pada Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan pusat pengajian kecerdasan buatan pertama negara, iaitu Fakulti AI di UTM dengan peruntukan awal RM20 juta semasa membentangkan Belanjawan 2024 bagi memperhebatkan penerokaan bidang AI.

Dalam pada itu, Ahmad Fauzi berkata, peranan Fakulti AI itu dilihat menjadi pemangkin kepada inovasi ilmu itu dalam pelbagai bidang, antaranya industri pembuatan, kewangan, kesihatan, pertanian, tenaga boleh diperbaharui, keselamatan, ekonomi dan perubahan iklim.

Katanya, universiti penyelidikan itu sudah mempunyai Pusat Kecemerlangan Kepintaran Buatan dan Robotik (Cairo) dan Pusat Kecemerlangan serta Kejuruteraan Perisian Lanjutan (KES).

“Kementerian Pendidikan Tinggi juga sebelum ini telah mengiktiraf UTM sebagai pusat robotik negara atas segala kecemerlangan yang dihasilkan. Jadi, asas itu sudah ada dan hanya perlu dipertingkatkan lagi,” jelasnya.

Selain universiti tempatan, UTM turut berhasrat untuk bekerjasama dengan universiti luar negara seperti Mohamed bin Zayed University of Artificial Intelligence di Abu Dhabi,  The Alan Turing Institute AI di United kingdom serta Universiti di China, Jepun dan Korea Selatan.

“UTM yakin AI akan menjadi pemangkin bagi pembangunan teknologi baharu dan mempunyai potensi pasaran pekerjaan yang tinggi. Di UTM, kita mempunyai kira-kira 100 pensyarah yang berkecimpung dalam bidang ini sama ada dalam bidang pengajaran atau penyelidikan.

“Selain itu, kita anggarkan terdapat 50 pensyarah di setiap universiti awam yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang berkaitan AI.  Justeru, kita akan bangunkan industri AI di UTM berteraskan kepakaran lokal,” katanya sambil yakin sasaran untuk melahirkan 200,000 bakat dalam bidang tersebut menjelang 2030 yang ditetapkan pihak kementerian mampu dicapai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya