KOTA TINGGI: Salah seorang mangsa kemalangan di Jalan Besar Felda Air Tawar 1 di sini semalam sempat membalas mesej menerusi aplikasi WhatsApp ibunya untuk memaklumkan dia tidak bekerja selain akan pulang untuk melihat masalah kereta ayahnya.
Amirul Asyraf Zulkifli, 29, antara tiga mangsa yang terbunuh selepas kereta Perodua Myvi dinaikinya bertembung dengan kereta Proton Gen2 dalam tragedi pada pukul 6.40 pagi.
Turut terkorban rakan Amirul Asyraf iaitu Muhammad Amirul Faiz Azmi, 22, selain pemandu Gen2, Noor Azman Abdul Rahman, 46.
Ibu Amirul Asyraf, Norzihan Mohamad, 50, berkata, arwah anak lelaki tunggal dalam keluarga sempat membalas WhatsApp yang dihantarnya sebelum dia kemudian menerima berita anaknya itu terlibat kemalangan.
Katanya, arwah dan rakannya sama-sama bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah taman tema air di Desaru dan mereka berulang-alik menaiki kereta Myvi.
“Pukul 6.30 pagi saya mesej dia tanya jika dia kerja atau tidak esok kerana mahu meminta tolong dia lihat kereta ayahnya. Sempat dia membalas tidak kerja dan boleh bantu sebelum mesej tidak berbalas. Tak sangka pula tidak lama kemudian saya dimaklumkan yang anak maut dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini semalam.
Cerita Norzihan, selepas berkahwin Amirul Asyraf menetap di Taman Pasak Indah bersama keluarga mentuanya dan kali terakhir pulang ke Kampung Baru Seluyut Sabtu lalu.
Katanya, arwah yang ada dua orang anak berusia empat dan tiga tahun pernah menyatakan hasrat untuk berhenti kerja dan mahu mencari duit lebih dengan bekerja di Singapura.- UTUSAN










