KLUANG: Akibat kerosakan janakuasa, 27 keluarga Kampung Orang Asli Pucur, dekat sini terpaksa bergelap sejak seminggu lalu dan hanya menggunakan lilin atau janakuasa kecil untuk menerangi kegelapan malam.
Batin Kampung Orang Asli Pucur, Semanggar Ahmad berkata, akibat kerosakan janakuasa itu juga menyebabkan penduduk terpaksa menggunakan air hujan atau mineral yang dihantar oleh penyumbang untuk kegunaan memasak, manakala mandi di sungai berhampiran.
Katanya, untuk mengelakkan daripada sebarang musibah, ketua keluarga setiap rumah diingatkan agar memastikan lilin yang dinyalakan diletakkan di tempat selamat selain berjaga-jaga dengan kemungkinan air naik secara tiba-tiba susulan hujan lebat berterusan.
“Kami juga melakukan rondaan serta kawalan bagi memantau keadaan air sungai dan jika berlaku kenaikan yang berkemungkinan membahayakan penduduk, mereka akan dipindahkan ke rumah diperbuat daripada kayu di kawasan tinggi kampung ini.
“Bagi mereka yang menggunakan janakuasa kecil, pemasangan hanya sehingga tengah malam kerana perlu berjimat disebabkan minyak petrol dibeli sendiri, antara tiga hingga empat hari sekali menggunakan bot di pekan Kahang,” katanya ditemui selepas menerima bekalan beras, air mineral dan makanan dalam tin yang dihantar menggunakan bot oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) diketuai Ketua Pengarahnya, Datuk Sapiah Mohd. Nor hari ini.
Semanggar berkata, kegagalan menghantar alat ganti janakuasa yang rosak menggunakan jalan darat menyebabkannya tidak dapat dibaiki dengan segera untuk kegunaan penduduk.
Sementara itu, Sapiah berkata, semua perkampungan Orang Asli di bawah kawal selia Jakoa di seluruh negara yang terkesan akibat banjir akan bantuan oleh pihaknya.
“Bakul makanan ini bukan hanya meliputi bencana banjir semata-mata, malah turut merangkumi kejadian tanah runtuh atau serangan binatang buas.
“Pada hari ini, 106 penduduk di Kampung Orang Asli Pucur dan 177 penduduk di Kampung Orang Asli Sedohok dibekalkan bekalan makanan seperti beras, air mineral, minyak masak dan makanan dalam tin bagi kegunaan satu hingga dua minggu mengikut kapasiti keluarga,” katanya. – UTUSAN









