Propaganda Zionis sekat UNRWA salur bantuan kepada Palestin - Utusan Malaysia

Propaganda Zionis sekat UNRWA salur bantuan kepada Palestin

PENDUDUK Palestin yang dipindahkan beratur untuk menerima bantuan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Rafah di selatan Gaza. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekejaman Israel tidak nampak akan berhenti malah semakin berleluasa apabila Zionis kini turut melancar propanganda supaya negara-negara antarabangsa menghentikan bantuan kepada penduduk di Semenanjung Gaza.

Terdahulu, Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Ber­satu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) memaklumkan, mereka membuka siasatan berhubung dakwaan Israel bahawa 12 kakitangan UNRWA bersama Hamas mencetuskan serangan pada 7 Oktober tahun lalu.

Tuduhan itu menyebabkan beberapa negara kini menghentikan dana kepada UNRWA yang kemudian akan disalurkan kepada penduduk Palestin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, dakwaan itu sengaja dibuat Israel sebagai propaganda untuk mengumpan komuniti antarabangsa menghentikan dana kepada UNRWA.

Menurut beliau, jika UNRWA tiada dana maka badan itu tidak lagi boleh membantu rakyat Pa­lestin yang ditindas Zionis.

MENJAGA

“Israel berusaha keras untuk memastikan UNRWA tidak dapat membantu dan menjaga rakyat Palestin, maka mereka (Zionis) sanggup buat apa sahaja bagi memastikan rancangan jahat mereka berjaya.

“Israel memang sengaja ma­hu komuniti hentikan salurkan dana kepada UNRWA kerana hanya badan itu yang menjadi ‘penyambung hayat’ rakyat Pa­lestin,” katanya.

Antara negara yang menghentikan dana kepada UNRWA ialah Australia, Kanada, Itali, Amerika Syarikat (AS), Jerman, Finland, Belanda dan United Kingdom (UK).

Walid berkata, pihaknya kecewa apabila negara-negara ter­sebut ‘menghukum’ UNRWA tanpa bukti petugas badan itu terlibat bersama Hamas menye­rang Israel.

“Adalah tidak adil untuk menghukum rakyat Palestin yang sememangnya sudah menderita sejak sekian lama akibat dakwaan itu. Meskipun (petugas UNRWA) terlibat, masih tidak adil untuk rakyat Palestin,” tegasnya.

Menurut laporan yang dikeluarkan Kedutaan Palestin pada hari ke-115 serangan Israel, 60 peratus daripada kawasan Gaza musnah meliputi 26 hospital, 110 klinik kesihatan, 157 masjid, 355,000 penempatan rakyat Pa­lestin dan 42 sekolah UNRWA.

Jumlah korban kira-kira 30,000 dengan lebih 65,000 cedera dan 8,000 hilang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN