PONTIAN: Seorang lelaki dikhuatiri lemas akibat terjatuh ke dalam Sungai Benut, dekat sini malam tadi.
Difahamkan kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam apabila mangsa, Muhammad Amirul Muzamil, 25, dan seorang rakannya pergi ke sungai berkenaan selepas berjumpa dengan teman wanita, Nur Farhana Nurul Hafiz, 27, di penginapannya di bandar ini.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dianggotai oleh pelbagai agensi termasuk pasukan penyelam masih belum menemukan mangsa.
“Sekiranya tidak dijumpai pada petang ini, operasi ini akan disambung pada pagi esok,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Nur Farhana yang mengenali Muhammad Amirul pada Ogos tahun lalu menerusi kakak angkatnya memberitahu mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan semasa berjumpa sebelum kejadian berkenaan.
“Kami berjumpa seperti biasa dan tiada nampak sebarang perubahan pada dirinya sebelum kami berpisah,” katanya dalam nada sedih.
Abang mangsa, Muhammad Hilmi Muzamil, 31, berkata, adiknya telah pergi ke Sungai Benut bersama-sama seorang kawannya yang masih tidak dikenali kerana telah melarikan diri selepas Muhammad Amirul terjatuh ke dalam sungai tersebut.
Adiknya yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik tinggal bersama-sama emaknya, Ramlah Hashim, 71, di Kampung Telok Kerang, dekat sini.
“Kami berdoa supaya adik dapat ditemui walau dalam keadaan apa pun kerana kami sekeluarga amat menyayangi,” katanya. – UTUSAN









