Pekerja asing: Biar JTK urus bukan ejen - Utusan Malaysia

Pekerja asing: Biar JTK urus bukan ejen

Kilang haram
Kerajaan dicadang kembalikan pengambilan pekerja asing melalui JTK dan bukan kepada ejen. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan disaran mengembalikan semula sistem majikan memohon pekerja asing menerusi Jabatan Tenaga Kerja (JTK) berbanding pengambilan pekerja asing diuruskan ejen menerusi sistem kuota.

Sistem kuota yang dilaksanakan ketika ini menggalakkan rasuah apabila terdapat agensi yang menyalahguna kuota untuk mengambil pekerja berlebihan selain menganiaya warga asing yang sampai ke negara ini tetapi tiada kerja.

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak berkata, gejala rasuah boleh berlaku dalam sistem tersebut disebabkan pengambilan pekerja asing diuruskan pihak ketiga iaitu ejen yang dilantik kerajaan.

Menurut beliau, menerusi sistem itu, kuota pengambilan pekerja asing boleh dijual kepada ejen lain sekali gus menyebabkan pekerja asing yang diperlukan sesebuah syarikat tidak tepat dengan kuota tersebut.

“Susulan itu, saya menya­ran­kan kerajaan mengambil tindakan tegas kepada semua pemilik syarikat yang merupakan ejen kepada pekerja asing, terma­suklah juga pengarah syarikat,” katanya ketika dihubungi.

Oleh itu, kata beliau, kerajaan perlu mengembalikan semula sistem yang pernah digunakan sebelum ini di mana permohonan daripada majikan secara langsung kepada JTK.

PEKERJA ASING

Kata Halim Ishak, majikan hendaklah memaklumkan jumlah sebenar pekerja asing yang diperlukan.

Dengan demikian, katanya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui JTK akan membuat penilaian dan pemeriksaan ke atas syarikat berkenaan.

Kata beliau, selepas itu JTK membuat sokongan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi meluluskan kelulusan per­mohonan majikan untuk mengambil pekerja.

“Justeru, KSM sebenarnya dilihat mampu menguruskan perihal pekerja asing dan tidak memerlukan agensi atau ejen,” jelas beliau.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim berkata, warga asing yang menjadi mangsa penipuan kepada ajen hendaklah mela­porkan segera kepada pihak terbabit.

Menurut beliau, perbuatan tersebut termaktub dalam Akta Syarikat 1965 iaitu sekiranya terdapat penipuan dalam promosi atau tawaran berkenaan pengambilan pekerja, maka syarikat berkenaan boleh disiasat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Selain itu, kata beliau, laporan juga boleh dibuat kepada KSM, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

Katanya, kes-kes penipuan tersebut boleh disiasat di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang mana yang disabit bersalah dikenakan hukuman 10 tahun penjara dan denda, termasuk sebatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN