Op Payung bantu calon SPM terjejas banjir di Terengganu

Op Payung bantu calon SPM terjejas banjir di Terengganu

SEBANYAK 176 pusat peperiksaan SPM termasuk di kawasan terlibat banjir sebelum ini akan dibuka di Terengganu pada tahun ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) akan melaksanakan Op Payung sekiranya berlaku banjir gelombang keempat di negeri ini ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berlangsung.

Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pengurusan Sekolah JPNT), Azman Othman @ Abdullah berkata, Op Payun digerakkan jika berlaku tiga situasi banjir hasil perbincangan yang diadakan dengan pelbagai jabatan dan agensi.

Katanya, bagi situasi pertama sekiranya hanya pusat peperiksaan yang terlibat banjir manakala kawasan persekitaran rumah calon serta jalan ke pusat peperiksaan tidak terjejas, JPNT akan memindahkan pusat peperiksaan ke bilik lain yang tidak terjejas banjir.

“Tindakan ini perlu dilakukan lebih awal sebelum banjir berlaku (jika risiko telah dikenalpasti) atau dipindahkan sekiranya air mulai naik di pusat peperiksaan (sekiranya banjir luar jangka).

“Perpindahan tersebut perlu dimaklumkan segera kepada pengawas dan semua calon di pusat peperiksaan tersebut secepat mungkin untuk memudahkan urusan mereka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, JPNT juga akan mengarahkan calon untuk menumpang di rumah saudara mara yang berdekatan sekolah untuk memudahkan pergerakan mereka sekiranya jalan menuju ke pusat peperiksaan sahaja yang banjir,

“Bagi sekolah yang mempunyai asrama pula, calon tersebut akan ditempatkan sementara di asrama itu sehingga banjir pulih sepenuhnya.

“Selain itu, kita juga akan memindahkan pusat peperiksaan ke sekolah lain (yang tidak terlibat banjir dalam daerah yang sama) sekiranya berlaku situasi ketiga iaitu banjir yang menyebabkan pusat peperiksaan dan jalan menuju ke pusat peperiksaan dinaiki air,” katanya.

Azman menambah, calon dan guru yang bertugas perlu berpindah ke pusat peperiksaan baharu berkenaan dan berada di situ hingga peperiksaan selesai.

Beliau berkata, JPNT dengan kerjasama agensi lain seperti Pejabat Daerah dan Yayasan Terengganu juga akan menyediakan pusat peperiksaan alternatif di mana-mana daerah yang berdekatan jika cadangan pemindahan sebelum itu tidak dapat dilaksanakan.

Pada tahun ini, seramai 18,492 calon SPM telah berdaftar dengan JPNT untuk menduduki peperiksaan itu di 176 pusat peperiksaan seluruh Terengganu.

Daripada jumlah tersebut, seramai 3,420 calon adalah di daerah Kuala Terengganu diikuti 3,005 calon di Besut, Kemaman (2,827 calon), Kuala Nerus (2,615) dan Dungun (2,284 calon).

Selain itu, seramai 1,742 calon berdaftar di daerah Marang diikuti 1,469 calon di Hulu Terengganu dan 1,130 calon di Setiu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya