Mansuh pencen: kerajaan Perpaduan langgar Perlembagaan Persekutuan? - Utusan Malaysia

Mansuh pencen: kerajaan Perpaduan langgar Perlembagaan Persekutuan?

TUAN IBRAHIM Tuan Man (depan, tengah) selepas merasmikan Konvensyen Pas Pahang di Kompleks Al-Makmur Kerdau di Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa akan melanggar Perlembagaan Persekutuan jika meneruskan hasrat memansuhkan skim persaraan penjawat awam.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini kerana, hak untuk berpencen kakitangan awam termaktub dalam Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Pencen 1980 (Akta 227).

Dakwanya, kerajaan seolah-olah cuba melepaskan tanggungjawab terhadap penjawat awam dengan alasan terpaksa berbelanja besar, RM31 bilion bagi pembayaran pencen kepada pesara dan dijangka meningkat RM120 bilion pada 2040.

“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, pemimpin yang dipilih rakyat perlu mencari dana bagi mengekalkan skim yang memberi keselesaan kepada bakal pesara.

“Berdasarkan laporan, gelodak jiwa rakyat di akar umbi mendapati rakyat majoritinya lebih selesa dengan skim tetap dan berpencen demi masa depan mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Pas Pahang di Kompleks Al-Makmur Kerdau di sini hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Kabinet bersetuju perjawatan bagi penjawat awam bermula Februari ini berstatus tetap tetapi tidak berpencen.

Ahmad Zahid berkata, bagi penjawat awam sedia ada, status berpencen tidak terjejas, sementara penjawat awam baharu itu kelak akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Susulan itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr. Adnan Mat berkata, kerajaan perlu mengkaji semula pemberian pencen kepada ahli-ahli politik membabitkan wakil rakyat jika negara berdepan kekangan kewangan sehingga terpaksa menyekat skim saraan perkhidmatan awam.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, keputusan kerajaan itu dilihat dibuat secara tergesa-gesa sehingga menyebabkan ramai pihak panik dan membuat pelbagai kritikan.

“Ketika Perikatan Nasional (PN) memerintah, kita tidak sanggup memansuhkan keistimewaan penjawat awam ini kerana mereka ada hak berpencen di bawah Perlembagaan Negara,” katanya.

Menurutnya, memasuhkan skim pencen akan menjejaskan produktiviti kerana melemahkan semangat bekerja penjawat awam yang hanya berstatus kontrak yang tidak ada pencen selepas tempoh perkhidmatan.

“Kerajaan perlu perjelaskan segera tentang isu pemansuhan skim berpencen ini kerana sudah ada kenyataan terbaru cadangan itu dalam tempoh tertentu,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan sepatutnya memberi tumpuan terhadap masalah kenaikan harga barangan yang melonjak, kos haji, kemerosotan nilai ringgit dan menarik lebih ramai pelabur.

Menurutnya, rakyat kini semakin gelisah dengan kenaikan kos sara hidup berikutan kadar upah yang diperoleh tidak seimbang dengan harga barangan yang meningkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya