Malaysia kirim poskad kepada PBB desak terima Palestin jadi negara ahli - Utusan Malaysia

Malaysia kirim poskad kepada PBB desak terima Palestin jadi negara ahli

Anwar Ibrahim menandatangani poskad untuk dikirim kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres bagi mendesak pertubuhan itu menerima Palestin sebagai negara anggotanya. - FOTO/Facebook Perdana Menteri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mengirim poskad kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres untuk mendesak pertubuhan itu menerima Palestin sebagai negara anggotanya.

Pada masa sama, Malaysia juga menuntut PBB memainkan peranannya supaya keganasan dan kezaliman rejim Zionis terhadap Palestin dihentikan  segera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dan Jemaah Menteri telah menandatangani dan mengirim poskad khas tersebut kepada Guterres sebelum memulakan Mesyuarat Jemaah Menteri, pagi tadi.

“Poskad khas ini adalah bagi menzahirkan hasrat rakyat Malaysia dengan mendesak PBB menerima Palestin sebagai negara anggota dan menuntut keganasan dan kezaliman terhadap warga Palestin oleh rejim Zionis segera dihentikan.

“Poskad khas ini akan diserahkan menerusi Wakil Tetap Malaysia ke PBB. Saya berharap suara tulus rakyat Malaysia ini mendapat perhatian serius daripada Guterres,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, rakyat Malaysia boleh turut serta Kempen Pengiriman Poskad Khas kepada Setiausaha Agung PBB dengan membelinya bermula esok di semua pejabat pos atau menerusi laman sesawang rasmi Pos Malaysia Berhad.

JEMAAH MENTERI

Sementara itu, Kementerian Komunikasi dalam satu kenyataan berkata, kempen tersebut dimulakan oleh Perdana Menteri dan diikuti Jemaah Menteri  dengan menandatangani poskad yang tertera slogan berbahasa Inggeris. 

“We Appeal for the UN to accept The State of Palestine as a full member. Ceasefire now! (Kami merayu PBB untuk menerima Palestin sebagai negara ahli. Gencatan senjata segera!”.

Menurut kenyataan itu lagi, penghantaran pertama poskad khas tersebut dibuat melalui Wakil Tetap Malaysia ke PBB bagi menekankan betapa pentingnya satu saluran diwujudkan untuk membolehkan rakyat Malaysia menyalurkan pandangan kepada PBB dalam memelihara keamanan dan keselamatan sejagat.

“Malaysia juga berharap agar inisiatif ini mendapat perhatian serius daripada Setiausaha Agung PBB untuk menerima Palestin sebagai ahli PBB dan segera menghentikan keganasan yang berlaku,” katanya.

Poskad ini boleh dibeli mulai esok di semua pejabat pos pada harga RM2.00 sekeping (termasuk setem pracetak 90 sen). Orang ramai turut boleh membuat pembelian secara dalam talian melalui laman sesawang rasmi Pos Malaysia Berhad iaitu https://shop.pos.com.my. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya