KOTA TINGGI: Seorang penunggang motosikal patah kaki dihempap pokok tumbang di persimpangan Taman REM, Jalan Kota Tinggi, tengah hari tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Syukri Mohd. Yusof berkata, pihaknya mendapat panggilan kecemasan tentang kejadian itu pada pukul 12.56 tengah hari.
Seramai enam anggota dari BBP Kota Tinggi dengan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan di tempat kejadian didapati benar terdapat pokok setinggi 10 meter tumbang. Pokok berkenaan telah menghempap seorang lelaki berusia 40-an yang dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja.
“Mangsa telah dibawa oleh ambulans sebelum pihak bomba sampai di lokasi kejadian. Akibat kejadian itu mangsa telah alami patah kaki,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pihaknya memotong pokok yang menghalang laluan tersebut dan operasi ditamatkan pada pukul 1.10 petang. – UTUSAN