Lelaki ditemukan maut dalam kereta

Lelaki ditemukan maut dalam kereta

ANGGOTA polis mengusung mayat mangsa yang ditemukan maut di dalam sebuah kereta di Kampung Wakaf Stan, Kota Bharu, Kelantan-UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang lelaki ditemukan mati di dalam sebuah kereta selepas bersarapan nasi berlauk di sebuah kedai makan di Kampung Wakaf Stan, Kubang Kerian di sini, hari ini.

Kejadian itu disedari seorang penduduk kampung selepas mendapati kereta jenis Honda City dinaiki mangsa yang berusia dalam lingkungan 40-an tidak bergerak meskipun enjinnya hidup kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Azman, 40, berkata, lelaki itu dikatakan datang ke kedai makan itu untuk bersarapan kira-kira pukul 8 pagi tadi.

Menurutnya, selesai makan di premis itu, mangsa dipercayai masuk ke dalam kereta untuk pulang ke rumahnya di Kampung Panjang, di sini.

“Beberapa penduduk kampung melihat kereta terbabit tidak bergerak walaupun pemandunya ada di dalam. Salah seorang penduduk kampung kemudian bergegas mengetuk pintu kereta terbabit dan mendapati mangsa sudah tidak sedarkan diri,”katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di lokasi kejadian hari ini.

Azman memberitahu, penduduk kampung yang mengenali keluarga lelaki itu terus menghubungi isterinya dan pihak polis untuk memaklumkan kejadian tersebut.

Katanya, beberapa penduduk kampung yang tiba awal di lokasi kejadian mendapati mangsa meninggal dunia dipercayai akibat terkena serangan jantung.

“Anggota polis yang tiba di lokasi kejadian kemudiannya membawa mangsa ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan maklumat lengkap akan menyusul.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN