Lelaki diberkas godam,  jual data peribadi milik sebuah agensi kerajaan - Utusan Malaysia

Lelaki diberkas godam,  jual data peribadi milik sebuah agensi kerajaan

RAMLI MOHAMED YOOSUF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang lelaki kerana dipercayai menggodam dan menjual data peribadi milik sebuah agensi kerajaan di laman sesawang ‘darkweb’ pada 25 Disember lalu.

Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di sekitar ibu negara oleh sepasukan pegawai dan anggota  Unit Siasatan Jenayah Wang Kripto, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman. 

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan  disyaki menjual data peribadi yang dipercayai digodam daripada agensi milik kerajaan tersebut.

“Dia kemudian menjual kepada  darkweb  dengan harga dolar Amerika Syarikat  200 (RM927) untuk setiap set data.

Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati pembayaran adalah dalam bentuk mata wang kripto.

“Melalui Unit Mata Wang Kripto, kita berjaya mengesan lelaki tersebut dan memberkasnya pada 25 Disember lalu. 

“Suspek dibebaskan dengan jaminan polis pada 29 Disember lalu manakala  siasatan dilengkapkan. Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini hari ini. 

MEMENANGI

Dalam perkembangan berasingan, Ramli berkata, portal SemakMULE JSJK dibangunkan pada 2018 telah memenangi tempat kedua dalam Majlis Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AlPSA) 2023 anjuran Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU). 

“Kejayaan ini  satu pengiktirafan kepada PDRM khususnya dari aspek penyampaian perkhidmatan awam demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, portal tersebut dibangunkan dengan matlamat untuk memberikan akses secara langsung kepada masyarakat dalam menyemak akaun bank serta nombor telefon yang mungkin digunakan oleh scammer.

“Setakat ini, sejumlah 160,095 akaun bank serta nombor telefon telah disenaraikan di dalam portal ini.

“Sejak mula dibuka sehingga sekarang, portal SemakMULE telah dilawati sebanyak 24,257,824 kali dan jumlah carian yang dibuat telah mencecah 21,215,287 carian,” katanya.

Menurutnya, daripada jumlah carian tersebut, sejumlah 1,575,219 percaya, carian telah memberikan jawapan positif. 

“Kita percaya, maklumbalas tersebut telah membantu pengguna dan menyelamatkan wang mereka dari dipindahkan ke akaun scammer. 

“Masyarakat dinasihatkan agar terus menggunakan kemudahan ini untuk mengelakkan kerugian akibat terpedaya dengan scammer,” kata beliau.- UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya