BATU PAHAT: Penduduk di Sri Medan dekat sini dikejutkan dengan kejadian kebakaran melibatkan masjid dan surau pada malam semalam dan malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, walaupun kedua-dua kejadian tidak melibatkan sebarang kecederaan, namun apa motif pelaku sanggup membakar rumah ibadat.
Katanya, jika benar dua kejadian ini adalah perbuatan khianat, diharapkan orang yang bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman setimpal.
“Malam semalam di Masjid Kampung Parit Simis dan malam tadi di Surau Kampung Parit Bangas, kedua-duanya di Sri Medan.
“Sekiranya kebakaran melibatkan isu pendawaian elektrik, saya akan pastikan semua masjid dan surau seluruh negeri Johor dibuat pemeriksaan segera supaya sebarang kejadian buruk akibat masalah pendawaian yang mungkin sudah terlalu lama segera dibaik pulih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Fared, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan membiayai kerja-kerja membaiki kerosakan masjid dan surau tersebut.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Medan, Datuk Zulkarnain Kamisan juga sudah menggerakkan usaha mengumpul dana bagi tujuan sama. – UTUSAN