Hanya platform tunggal urus pekerja asing - Utusan Malaysia

Hanya platform tunggal urus pekerja asing

Kemasukan pekerja asing harus diuruskan menerusi satu platform. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Platform tunggal disyorkan bagi mengurus hal ehwal pekerja asing kerana lebih menjamin kecekapan dan ketelusan proses itu berbanding dikendalikan pelbagai agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Ia juga memastikan pelaksanaan dasar mengenai pekerja asing diselaraskan selain menghapuskan pertindihan prosedur pengambilan pekerja.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (Papa), Suresh Tan berkata, KDN dan KSM perlu mewujudkan satu sistem pengurusan pekerja asing bersepadu melibatkan agensi-agensi berkaitan menggunakan satu platform.

“Satu sistem yang komprehensif meningkatkan keberkesanan pengurusan pekerja asing dan mudah dipantau atau dikawal berbanding sistem sedia ada,” katanya.

Semalam, Menteri Perlada­ngan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilaporkan berkata, kemasukan pekerja asing tanpa pekerjaan akan memburukkan imej negara kerana se­perti menggalakkan pemer­dagangan manusia.

Menurut Suresh, memorandum persefahaman (MoU) sedia ada berhubung proses pengambilan pekerja asing juga perlu ditambah baik kerana terdapat beberapa negara sumber diberi­tahu mereka dibayar nilai yang tinggi untuk masuk dan bekerja di Malaysia.

Bagi isu kesihatan pekerja a­sing, beliau berkata, mereka perlu menepati keperluan sari­ngan kesihatan dibuat di negara asal.

DITANGGUNG

Menurutnya, ia berikutan kos tinggi perlu ditanggung majikan sekiranya mereka gagal ujian saringan kesihatan di negara ini.

“Rekod kesihatan pekerja asing di negara asal perlu selari de­ngan keperluan perubatan kesihatan negara ini sebelum mula bekerja,” katanya.

Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA) Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein berkata, kerajaan perlu segera mewujudkan sistem berpusat bagi menguruskan pekerja asing.

“Ia adalah perkara yang bagus untuk kerajaan lakukan kerana isunya sekarang adalah kerana kita mempunyai dua kementerian dengan polisi yang berbeza.

“Mereka perlu melalui pro­ses yang banyak melibatkan KDN, Imigresen dan KSM yang memakan masa untuk pergi kedutaan dan kembali kepada proses awal,” katanya.

Kata Engku Ahmad Fauzi, meskipun pekerja asing telah mengikuti peraturan dan peringkat birokrasi namun terdapat beberapa isu menyebabkan proses tergenda­la ketika melakukan permohonan secara dalam talian,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Swasta (PIKAP), Fiona Low berkata, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung (JTKSM) yang mengeluarkan lesen kepada Agensi Pekerjaan Swasta (APS) perlu sepakat bekerjasama dengan kerajaan demi memperbaiki sistem tersebut.

Kata beliau, ini kerana APS akan selalu menyampaikan maklumat berkaitan pemprose­san yang benar dan telus iaitu proses pengambilan dan perlindungan pekerja mengikut undang-undang.

“Selain itu, kerajaan harus memberi hukuman secara adil kepada pihak yang bersalah kerana tiada majikan berani mengambil pekerja yang tidak mempunyai dokumen dan pekerja asing juga tidak akan berani lari atau masuk secara tidak sah,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN