Dana 1MDB diseleweng sejak 2009 - Utusan Malaysia

Dana 1MDB diseleweng sejak 2009

Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir bagi sambung bicara kes penyelewengan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpurhari ini. -UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pegawai penyiasat skandal  dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dana syarikat pelaburan itu diseleweng sejak 2009. 

Bagaimanapun, tiada aduan dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atau pihak pengurusan 1MDB kepada SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), untuk menyiasat  perkara tersebut. 

Oleh itu, Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin memberitahu, tiada tindakan undang-undang diambil ke atas ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau nama sebenarnya, Low Taek Jho dan pihak-pihak berkaitan.  

“Dana 1MDB telah dilencongkan sejak tahun 2009. Tiada sebarang tindakan undang-undang diambil atas Jho Low atau pun mana-mana pihak. 

“Tiada sebarang aduan dibuat oleh Najib atau pihak pengurusan 1MDB kepada pihak berkuasa iaitu SPRM dan PDRM. 

“Najib (juga) tidak pernah mengarahkan mana-mana anggota pengurusan 1MDB menjarakkan diri daripada Jho Low,” kata saksi pendakwaan ke-49 itu pada perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah hari ini. 

Kata pegawai penyiasat itu lagi, selepas siasatan secara keseluruhan SPRM mendapati Jho Low bersama keluarga Najib pernah bercuti bersama-sama di atas kapal layar RM Elegance di perairan selatan Perancis pada 2009.

PERAIRAN

“Ini termasuk percutian di atas kapal layar Golden Oddessy di perairan Greece dan Itali pada 2010 yang diuruskan oleh Jho Low dan kapal layar Topaz di perairan selatan Perancis pada 2013 yang turut disertai Putera Mahkota UAE, Sheikh Mansour Zayed Al Nahyan dan Mohamed Badawy Al-Husseiny yang diurus Jho Low dan Tan Kim Loong,” katanya. 

Selain itu, kata Nur Aida,  Jho Low juga didapati mengatur perjumpaan  Najib dan  ‘Prince Turki’ dan Ketua Pegawai Eksekutif PetroSaudi International Ltd, Tarek Obaid. 

“Selain itu, walaupun Jho Low tidak dilantik secara sah dalam mana-mana jawatan dalam kerajaan termasuk 1MDB, namun individu itu memainkan peranan aktif dalam mencatur pengoperasian syarikat terbabit. 

Nur Aida  juga memberitahu, walaupun Menteri Kewangan II, Datuk Seri Husni Hanadzlah yang bertanggungjawab dalam syarikat-syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), beliau pernah diarah Najib supaya tidak terlibat dan campur tangan dalam urusan dan keputusan pelaburan 1MDB. 

“Najib sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB mempunyai akauntabiliti dalam setiap tindakan beliau lakukan,” katanya. 

Najib kini  dibicarakan atas empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. 

Perbicaraan bersambung 29 Januari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya