KOTA TINGGI: Sebuah keluarga di Taman Kemang, di sini terpaksa bergelap semalaman selepas terperangkap susulan rumah mereka dinaiki air banjir.
Noordiyana Zakaria, 33, berkata, ketika kejadian dia bersama ibunya, kakaknya dan anaknya berusia lima tahun menyelamatkan diri di tingkat dua selepas bahagian bawah rumahnya dinaiki air.
“Ada pasukan penyelamat datang untuk keluarkan ibu saya semalam, tetapi ketika itu saya keluar ke bandar Kota Tinggi atas urusan penting. Ibu pula mahu menunggu saya pulang untuk berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS).
“Saya tiba di rumah 20 minit kemudian, ketika itu di kawasan Kampung Kelantan telah dinaiki air hingga paras paha. Pagi ini di bahagian dalam rumah sudah paras tangga, manakala di luar sudah paras dada.
“Jadi, malam tadi kami sekeluarga bergelap semalaman dan hanya duduk di tingkat dua rumah. Mujur ada bekalan roti dan makanan segera di rumah sebagai alas perut sebelum diselamatkan pasukan penyelamat pagi tadi,” katanya ketika ditemui dalam operasi menyelamat mangsa banjir di bandar Kota Tinggi, di sini hari ini.
Dia mengambil keputusan menghubungi pihak berkuasa kerana bimbang dengan keadaan air banjir yang dilihat tidak menunjukkan tanda surut, sebaliknya semakin meningkat.
Sementara itu, pesara Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Ahmad Sujang, 71, yang turut diselamatkan mengakui kenaikan air banjir kali ini lebih laju dan deras berbanding kejadian banjir pada Mac tahun lalu.
Katanya, walaupun air banjir di kediamannya hanya berada pada paras betis, tetapi air di luar kawasan perumahan itu melebihi satu meter.
“Air naik terlalu laju, bermula petang semalam. Dalam tempoh masa tiga jam sahaja air sudah masuk ke dalam rumah.
“Kali ini banjir lagi teruk berbanding awal tahun lepas, kalau tahun lepas kami sempat naikkan selamatkan barang apa yang penting.
“Barang elektrik semua tidak dapat diselamatkan, saya hanya fikir untuk selamatkan nyawa sahaja,” katanya. – UTUSAN










