JOHOR BAHRU: Keadaan banjir di negeri ini hampir pulih, namun 78 mangsa daripada 20 keluarga masih mendiami tiga pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran fenomena banjir termenung.
Jumlah itu kekal sejak petang semalam dan dipercayai kawasan yang terlibat, iaitu di daerah Batu Pahat dan Segamat akan mengambil masa lebih lama untuk surut.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memberitahu, di Segamat, terdapat seramai 63 mangsa di dua PPS, manakala di Batu Pahat seramai 15 mangsa di sebuah PPS.
“Sejak awal banjir yang melanda Johor sehingga hari ini, tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri turut memberitahu, Jabatan Meteorologi telah mengeluarkan amaran ribut petir di Mersing, hari ini.
“Sementara itu, amaran hujan berterusan tahap waspada juga telah dikeluarkan melibatkan daerah Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
“Paras air Sungai Muar di Jeti Kampung Tekam, Segamat masih melebihi paras bahaya, begitu juga Empangan Labong di Mersing,” katanya sambil memaklumkan dua laluan masih ditutup di Lingkaran Kahang Barat di Kluang akibat cerun runtuh. – UTUSAN









