Banjir: Jumlah mangsa di Johor berkurangan - Utusan Malaysia

Banjir: Jumlah mangsa di Johor berkurangan

ANGGOTA bomba menyelamatkan pekerja ladang yang terperangkap akibat banjir di kawasan Sungai Ulu Pengeli, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini mencatatkan sedikit penurunan dengan seramai 7,324 orang daripada 2,062 keluarga direkodkan setakat pukul 8 pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah itu berkurangan berbanding 7,362 orang daripada 2,054 keluarga yang direkodkan pada pukul 8 malam tadi.

Kesemua mangsa  kini ditempatkan di 49 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah yang terjejas banjir.

“Angka mangsa banjir di Kota Tinggi yang terjejas teruk akibat banjir ketika ini meningkat daripada 4,680 penduduk membabitkan 1,265 keluarga kepada 4,707 penduduk daripada 1,289 keluarga di 26 PPS, Johor Bahru pula merekodkan penurunan daripada 900 penduduk membabitkan 247 keluarga kepada 840 penduduk daripada 233 keluarga di lima PPS,” katanya dalam kenyataan di sini.

Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri memberitahu, mangsa banjir di Kluang juga sedikit menurun kepada 1,601 penduduk daripada 493 keluarga berbanding 1,606 orang daripada 495 keluarga direkodkan malam tadi.

Bagi daerah Segamat, Pontian dan Kulai pula tidak menunjukkan perubahan dan statik sejak malam tadi.

“Segamat merekodkan seramai 73 penduduk daripada 20 keluarga yang terkesan banjir, manakala di Kulai seramai 86 penduduk daripada 23 keluarga dan seramai 17 penduduk daripada empat keluarga terkesan di Pontian,” katanya sambil memberitahu sebanyak enam jalan di Kota Tinggi dan satu di Mersing terputus hubungan serta ditutup bagi semua kenderaan.

Laluan itu adalah Jalan Sungai Telor (Warung Warisan), Jalan Semanggar Dalam (loji Semangar), Jalan Kampung Kelantan (Masjid Kampung Kelantan, Jalan Tun Sri Lanang (simpang empat Tun Sri Lanang), Jalan Mawai Lama (rumah burung) dan Jalan Kota Tinggi – Kluang (arked Mara) 

“Turut terputus hubungan ialah Jalan Tanah Abang di Mersing yang ditutup untuk semua kenderaan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan di Kluang , Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru pada hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN