PUTRAJAYA: Badan kehakiman sentiasa dijadikan ‘kambing hitam’ setiap kali ada individu-individu berprofil tinggi dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan jenayah atau apa-apa pendakwaan salah laku.
Badan kehakiman juga ibarat menjadi ‘karung tinju’ untuk orang awam melepaskan marah sehingga keyakinan masyarakat terhadap institusi itu semakin terhapus.
“Apa yang masyarakat gagal untuk fahami ialah pihak yang bertanggungjawab untuk keputusan sedemikian (lepas bebas individu daripada pertuduhan) ialah pendakwa raya dan bukannya mahkamah.
“(Tetapi) yang sering dimarahi setiap kali keputusan sedemikian dilakukan ialah mahkamah dan ini menghakis keyakinan awam terhadap kehakiman,” kata Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Tengku Maimun berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini semalam.
Tanpa menamakan sesiapa, hakim tertinggi negara itu menyatakan ia berlaku sejak kebelakangan ini dan yang paling baharu pada tahun lepas sehingga hakim yang membenarkan permohonan pendakwa raya untuk tidak meneruskan kes dianggap terima rasuah, tidak kompeten atau kedua-duanya oleh pihak tertentu.
Mengulas lanjut, Ketua Hakim Negara itu berkata, apabila pendakwa raya memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap seseorang, mahkamah hanya mempunyai dua pilihan ketika berada dalam situasi itu.
DILEPAS
“Dua pilihan itu ialah sama ada membenarkan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan (DAA) atau DNAA.
“Mahkamah tidak boleh berpaling (daripada dua pilihan tersebut) dan menggesa pendakwa raya untuk mengekalkan pertuduhan,” kata Tengku Maimun.
Menurut beliau, berdasarkan peruntukan di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara yang merupakan Pendakwa Raya mempunyai budi bicara untuk memulakan, menjalankan dan menghentikan mana-mana prosiding kecuali di Mahkamah Syariah.
Kata Tengku Maimun, badan kehakiman dan pendakwa raya mempunyai peruntukan undang-undang masing-masing dalam melaksanakan tugas mereka.
“Justeru, kedua-dua institusi ini perlu ‘dihukum’ seadilnya kerana menjalankan tugas masing-masing tanpa mencampur adukkan kedua-duanya,” kata beliau.
Bagaimanapun, kata beliau, apabila keputusan pendakwa raya tidak diterima dengan baik oleh orang ramai, sebahagian besar kesalahan diletakkan pada badan kehakiman kerana membuat ketetapan apabila pertuduhan ditarik balik.
KOMEN
Kata beliau, perkara itu diburukkan lagi dengan komen orang ramai yang dibuat selepas dua kes lain, dengan satu daripadanya apabila Mahkamah Persekutuan pada 2021 memutuskan bahawa enakmen Selangor yang melarang seks luar tabii sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan.
Satu lagi kes ialah tindakan Sisters in Islam (SIS) mendapatkan pengisytiharan bahawa Selangor tidak ada kuasa untuk menggubal undang-undang yang memberi kuasa hanya kepada Mahkamah Syariah bagi mendengar cabaran undang-undang terhadap keputusan pihak berkuasa agama negeri.
Menurut Tengku Maimun, adalah malang apabila ada pihak tertentu menimbulkan sentimen orang ramai secara berlebihan terhadap dua kes mahkamah berkaitan undang-undang Selangor.
Katanya kes-kes itu tidak ada kaitan dengan ancaman terhadap Islam sebenar sebaliknya semata-mata mahu menegaskan had kuasa yang jelas antara Persekutuan dan negeri-negeri.
Sementara itu, Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh pada persidangan sama berkata, hak untuk memulakan dan menghentikan sebarang pertuduhan terhadap orang yang dituduh di mahkamah termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, beliau berkata, sebagai pendakwa raya, beliau tidak wajib untuk memberikan alasan atau penjelasan kepada sesiapa.
Ini termasuk alasan pertuduhan jenayah dibuat atau mengapa perbicaraan di mahkamah digugur pertengahan jalan atau lazim dirujuk sebagai DNAA.
“Peranan kami adalah mantap dan dilindungi Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Isu DNAA menjadi polemik susulan kes Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan 47 pertuduhan salah guna dana awam Yayasan Akalbudi.
Meskipun tidak dinyatakan secara spesifik kepada mana-mana kes tertentu, Ahmad Terrirudin dipercayai merujuk isu cabaran undang-undang oleh Badan Peguam Malaysia.- UTUSAN










