Anjing liar ancam keselamatan penduduk - Utusan Malaysia

Anjing liar ancam keselamatan penduduk

BEBERAPA ekor anjing berkeliaran di hadapan rumah penduduk di Kampung Parit Dato' Onn, Pulai Sebatang, di Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Gangguan anjing liar di kampung-kampung bagai tiada penyelesaian apabila Kampung Parit Dato’ Onn dan Kampung Sungai Naga di Pulai Sebatang turut meng­alami masalah sama.

Sebelum ini gangguan hanya berlaku di kawasan Kayu Ara Pasong dan Parit Sikom menyebabkan penduduk bimbang dan tidak selesa dengan kehadiran banyak anjing liar.

Ketua Kampung Mukim Api-Api, Zakaria Sanusi mendakwa, kumpulan anjing itu digunakan bagi menjaga kebun seperti pisang, sayur, nanas, kelapa sawit daripada gangguan seperti monyet.

Namun, setelah tidak digunakan untuk menjaga kebun, anjing-anjing itu dibiarkan oleh pengusaha kebun menyebabkan binatang tersebut berkeliaran dan mengganggu penduduk setempat.

Ekoran tidak dijaga dan diberi makanan, kumpulan anjing itu menjadikan ayam dan kucing yang dipelihara oleh penduduk kampung sebagai sasaran.

“Penduduk banyak mengadu ayam dan kucing mereka hilang dipercayai telah dimakan oleh anjing-anjing tersebut terutama pada waktu malam,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Zakaria berkata, pada awalnya anjing-anjing yang ada hanya antara 10 hingga 20 ekor, namun jumlahnya kini lebih 50 ekor.

“Keadaan ini yang membimbangkan kami kerana bilangannya semakin bertambah dan menjadikan halaman rumah penduduk sebagai tempat ‘tidur’ bersama anak-anaknya yang baru lahir,” katanya.

Kumpulan anjing itu juga akan menyelongkar sisa-sisa makanan dan menyebabkan penduduk bimbang dan khuatir mengenai keselamatan keluarga masing-masing.

“Setakat ini belum ada kejadian tidak diingini, tetapi ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah pada waktu pagi kerap kali dikejar oleh anjing-anjing tersebut,” katanya sambil meminta supaya tindakan segera diambil oleh pihak-pihak berkenaan seperti Jabatan Veteriner dan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN