Angah selamat, beri ruang polis siasat - Ibu dua beradik hilang - Utusan Malaysia

Angah selamat, beri ruang polis siasat – Ibu dua beradik hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lagi daripada dua beradik yang dilaporkan hilang selepas keluar dari kediaman di Taman Bernam Jaya dekat sini pada 1 Januari lalu ditemukan selamat semalam.

Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, ibu mangsa, Fara Zulkifli, 39, memaklumkan, remaja berusia 15 tahun itu dalam keadaan baik namun dia sekeluarga memohon diberikan ruang bagi pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut.

“Alhamdulillah, Angah ditemukan dengan selamat, kami (sekeluarga) sangat bersyukur,

Bagaimanapun, kita minta beri ruang kepada pihak polis untuk siasat dahulu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Difahamkan, remaja tersebut pulang sendiri ke kediamannya di Hulu Bernam dekat sini awal pagi semalam sebelum dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk proses pengecaman.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim mengesahkan penemuan anak kedua daripada lima beradik itu.

Media semalam melaporkan, seorang lelaki berusia 42 tahun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan kes dua beradik dipercayai dikurung di sebuah hotel di ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang remaja berusia 16 tahun kira-kira 2.48 pagi pada 12 Januari lalu berkenaan kes cabul dan diliwat seorang individu di sebuah hotel di Jalan Sultan dekat sini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melalukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Bagaimanapun, tegas Allaudeen, remaja terbabit bukan diculik seperti dilaporkan sebaliknya keluar dari rumah di Hulu Bernam dan terdapat siasatan dijalankan berhubung kehilangan itu.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan remaja dilaporkan hilang pada bersama adiknya pada 1 Januari lalu mendakwa dikurung dalam sebuah motel di Jalan Petaling dekat sini oleh individu tidak dikenali.

Malah, remaja itu mendakwa selama dikurung bersama adiknya selain diperlakukan tidak baik sebelum dipisahkan pada 9 Januari lalu.

Bagaimanapun, remaja tersebut berjaya melarikan diri sebelum ditemukan dalam keadaan tidak bermaya di Stesen LRT Pasar Seni dekat sini pada malam, 11 Januari lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN