PETALING JAYA: Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi mengisytiharkan sokongan kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa semalam dan menjadi ahli parlimen Bersatu keenam menentang arus parti.
Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata, keputusan itu dibuat selepas sedar dengan keperluan terhadap kestabilan politik dan kelancaran pemulihan ekonomi negara serta menginsafi keperitan kehidupan rakyat dengan kos sara hidup yang menghimpit ketika ini.
Menurut beliau, keputusan itu juga bertujuan memastikan nasib dan pembangunan penduduk di Parlimennya terus terbela dan mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan infrastruktur serta keperluan setempat.
“Saya juga ingin menyatakan sokongan kepada dasar dan inisiatif Kerajaan Madani yang mengutamakan kebajikan, pembangunan, ekonomi dan kepentingan rakyat sehingga pilihan raya umum akan datang.
“Bagi mengelakkan sebarang keraguan, saya ingin menegaskan bahawa dengan ini saya masih setia sebagai ahli Bersatu dan tidak akan mengkhianati Bersatu. Namun demi memastikan kelangsungan Tanjong Karang seiring dengan pemerintahan peringkat Persekutuan, adalah wajar untuk saya bersama dengan kepimpinan Putrajaya yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, lima Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan terhadap Anwar.
Mereka ialah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Zahari Kechik (Jeli); Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang).
Susulan itu, Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Tanjong Karang, Nurul Syazwani Noh berkata, Zulkafperi didakwa membuat keputusan secara bersendirian tanpa membincangkannya bersama pimpinan Perikatan Nasional (PN) atau Bersatu dalam mana-mana mesyuarat.
Beliau juga dikatakan tidak memaklumkan perkara tersebut dalam mesyuarat di peringkat Bahagian Tanjong Karang sehingga menyebabkan akar umbi yang menyokong beliau kesal dengan tindakannya.
Nurul Syazwani berkata, beliau kecewa dan menyelar keputusan dibuat Zulkafperi yang didakwa tidak memahami perit, jerih dan letih jentera parti memenangkannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu. – UTUSAN










