Agihan bantuan banjir Pahang, pembersihan melalui PKOB elak kerja dua kali - Wan Rosdy - Utusan Malaysia

Agihan bantuan banjir Pahang, pembersihan melalui PKOB elak kerja dua kali – Wan Rosdy

MOHAMMAD AHMAD SHAZLY Ramli (kiri) menyampaikan sumbangan Program Memacu Kehidupan: Bantuan Bencana 2023 Yayasan Petronas kepada Wan Rosdy Wan Ismail (dua dari kiri) di Wisma Sri Pahang di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pengagihan bantuan dan kerja-kerja pembersihan pasca banjir di negeri ini perlu melalui pusat kawalan operasi bencana (PKOB) setiap daerah bagi mengelakkan berlakunya pertindanan kerja.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penyelarasan tindakan itu dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang juga Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaakob.

“Semua aktiviti sama ada pembersihan dan bantuan kita salurkan kepada PKOB kerana tidak mahu kerja dua kali terjadi,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis penyampaian sumbangan Program Memacu Kehidupan: Bantuan Bencana 2023 oleh Yayasan Petronas di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Majlis penyerahan dilakukan Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli membabitkan sumbangan berjumlah RM460,000 bagi memanfaatkan 1,500 ketua isi rumah (KIR) terjejas banjir.

Sumbangan di bawah Pakej Prihatin itu merangkumi barangan keperluan asas seperti selimut, tuala mandi, biskut, makanan sedia dimakan, peralatan mandian dan air mineral.

Wan Rosdy dalam pada itu memberitahu, pengurusan bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini teratur dan tersusun.

“Di Pahang ada sekitar 1,300 mangsa dan dalam keadaan sekarang ramai sudah pulang ke rumah dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat. Mangsa banjir juga sangat patuh dengan arahan yang dikeluarkan. Kerajaan Pahang sangat sayangkan mangsa banjir justeru tidak mahu perkara tidak diingini berlaku kepada mereka.

“Pusat pemindahan kita juga bertambah baik dan tandas dipantau kebersihannya selain penjarakan sosial juga turut diadakan,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Ahmad Shazly berkata, sumbangan Pakej Prihatin itu sebagai tanda komitmen berterusan Yayasan Petronas dalam membantu penduduk terjejas banjir di Pantai Timur.

“Sumbangan ini diharapkan mampu memberi manfaat kepada seisi keluarga yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang,” katanya.

Selain sumbangan Pakej Prihatin, Yayasan Petronas turut menyerahkan bekalan bahan api untuk kegunaan pihak berkuasa keselamatan yang membantu melancarkan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir.

Sumbangan bernilai RM10,000 dalam bentuk Kad Hadiah Petronas itu disampaikan kepada wakil Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya