24 wanita warga asing dicekup di pusat urut - Utusan Malaysia

24 wanita warga asing dicekup di pusat urut

Penguat kuasa Jabatan Imigresen Johor menahan 24 wanita warga asing di empat pusat urut di Masai, Pasir Gudang, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 24 wanita warga asing dicekup anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Johor dalam Ops Gegar susulan serbuan yang dilakukan di empat buah pusat urut di Masai, di sini semalam.

Pengarahnya, Baharuddin Tahir berkata, kesemua wanita warga asing yang ditahan pada pukul 5.30 petang itu berusia lingkungan berusia 21 sehingga 42 tahun.

Katanya, operasi diadakan itu melibatkan sepasukan pegawai dari Unit Penguat Kuasa Bahagian Jabatan Imigresen Johor dan Pegawai dari Kompleks Sultan Abu Bakar, Iskandar Puteri.

“Pemeriksaan dijalankan mendapati semua wanita warga asing tersebut yang disyaki pekerja tukang urut di premis tersebut menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PSL) dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 17 wanita warga Vietnam, empat wanita Indonesia dan dua wanita Thailand,” katanya kepada pemberita hari ini.

Jabatan Imigresen Johor turut merampas enam set peralatan mengurut, 10 unit kondom, enam keping kas akses bilik dan wang tunai RM2,275.

Baharuddin berkata, semua yang ditahan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa.

Katanya, mereka juga melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.

Tambahnya, sebanyak enam notis hadir ke pejabat imigresen dikeluarkan kepada individu-individu dalam operasi tersebut bagi membantu siasatan.

“Jabatan imigresen mengesan ramai ramai warga asing menyalahgunakan kemudahan untuk tinggal di Malaysia dengan bekerja secara haram dan terlibat dengan aktiviti tidak bermoral.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap majikan dan pemilik premis yang menggajikan pekerja asing tanpa dokumen dan permit kerja sah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN