167 anggota MPV, URB bertugas lebih lima tahun ditukar - Utusan Malaysia

167 anggota MPV, URB bertugas lebih lima tahun ditukar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Pertukaran tugas bagi 167 anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Kontinjen Selangor akan dilakukan dalam masa terdekat ini dalam melaksanakan program mobilisasi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata, program itu memfokuskan anggota MPV dan URB yang sudah bertugas di posisi itu melebihi tempoh lima tahun.

Katanya, program mobilisasi itu sebagai salah satu tindakan drastik dalam mencegah berlaku salah laku dan salah guna kuasa di kalangan anggotanya yang bertugas di lapangan.

“Tindakan drastik tersebut akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi memastikan masyarakat terus yakin dengan pihak polis.

“Mobilisasi ini, saya percaya kita akan dapat perkasakan URB dan MPV selain dapat kenal pasti anggota yang ada masalah disiplin,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Hussein memaklumkan pihaknya membuka kertas siasatan berkaitan kes tatatertib terhadap seramai 311 pegawai dan anggota pada tahun lalu.

Jelas beliau, daripada jumlah tersebut, seramai 33 individu telah dituduh di mahkamah

“Seramai 14 individu telah ditahan kerja dan 21 orang pula telah dibuang kerja, manakala selebihnya dalam tindakan lanjut,” jelasnya.

Hussein berkata, pihaknya memandang serius berkaitan kes pelanggaran tatatertib, walaupun jumlah tersebut dilihat sedikit berbanding jumlah 15,000 anggota Polis Selangor.

“Seramai 21 individu terlibat dalam kes dadah, 11 anggota pula kes jenayah dan seorang kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, kita mengambil tindakan tegas terhadap mereka,” ujarnya.

Beliau berkata, seramai seorang pegawai dan 10 anggota yang terlibat dalam kes tatatertib telah didakwa di mahkamah pada bulan ini.

“Penyelia kepada anggota berkenaan juga disiasat mengikut Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, tindakan akan diambil sekiranya mereka gagal dari segi penyeliaan.

“Dua pasukan khas di Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti untuk memantau secara berterusan terhadap ‘frontliners’. Ia turut dibantu pasukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN