15,000 sambut kepulangan Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah esok - Utusan Malaysia

15,000 sambut kepulangan Al-Sultan Abdullah, Tunku Azizah esok

SEKITAR raptai istiadat keberangkatan pulang Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah pada 30 Januari ini. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Pahang pada Selasa ini akan disambut meriah oleh rakyat negeri ini.

Lebih 15,000 rakyat dijangka memenuhi laluan bermula di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan, Taman Tas, Sungai Isap, Kompleks Teruntum, dari pusat bandar Kuantan ke jalan Teluk Sisek sehingga ke Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah.

Rakyat dijangka membanjiri laluan ditetapkan bermula pukul 10 pagi bagi menzahirkan rasa rindu terhadap Seri Paduka baginda berdua.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Daerah Maran, Datuk Kurnia Bistari Mohamed Arifin Awang Ismail berkata, setelah dimasyurkan sebagai Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah dipilih pula menaiki takhta negara sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan perlu bersemayam di Istana Negara.

RAKYAT

Namun katanya, kasih sayang baginda berdua kepada rakyat dan negeri ini tidak pernah berkurang terutama ketika rakyat ditimpa musibah dan bencana, Seri Paduka serta keluarga diraja sentiasa bersama semasa susah dan senang.

“Sifat inilah yang menjadikan baginda begitu disanjung dan dikasihi oleh rakyat di seluruh negara sehingga ke Sabah dan Sarawak dan lebih-lebih lagi rakyat negeri Pahang.

“Banjaran Titiwangsa tinggi menjulang, memaut ikatan pelbagai negeri, seluas negara kasih dan sayang, negeri Pahang lebihlah lagi,” katanya di sini semalam.

Seorang rakan sekolah kepada Sultan Pahang keenam itu, Phua Joo Hee Alex, 65, berkata, rakyat negeri ini begitu merindui Al-Sultan Abdullah yang memerintah dan menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong dengan cukup baik sekali.

“Kami sebagai rakyat Pahang amat bangga dengan Tuanku. Kami mengalu-alukan keberangkatan pulang Tuanku kembali ke negeri Pahang dengan penuh kegembiraan. Daulat Tuanku,” katanya.

Pekerja swasta, Nuraniza Abd. Wahab, 36, pula berkata, kepulangan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bersemayam kembali sebagai payung yang memayungi rakyat di negeri ini begitu dinanti-nantikan.

“Baginda berdua tempat rakyat bernaung dan berteduh membuatkan rakyat tidak sabar menantikan kepulangan baginda kerana rindu dengan sentuhan dan santunan kasih Tuanku yang di ibaratkan sebagai ‘ Jantung hati rakyat’,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN