Zayn Rayyan dibunuh di lokasi lain sebelum diletakkan di sungai - Utusan Malaysia

Zayn Rayyan dibunuh di lokasi lain sebelum diletakkan di sungai

gambar - Ihsan polis
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Kanak-kanak Autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya diletakkan di dalam sungai tempatnya ditemukan, malam semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, perkara ini diperoleh hasil bedah siasat yang dilakukan terhadap kanak-kanak berkenaan.

“Justeru, saya bagi pihak keluarga, meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat tidak kira sekecil mana pun diminta tampil dalam membantu pihak polis merungkai jenayah ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini malam ini.

Mohd. Shuhaily berkata, hasil bedah siasat juga mendapati Zayn Rayyan berkemungkinan meninggal dunia dalam tempoh 48 jam sebelum mayatnya ditemukan.

Kata beliau, apa yang boleh dipastikan kematian kanak-kanak itu bukan disebabkan lemas.

Dalam pada itu, ditanya sama ada, siasatan polis mengesan suspek terlibat merupakan mereka yang berada di kawasan sekitar kanak-kanak itu ditemukan, Mohd. Shuhaily berkata, mereka akan melihat semua kemungkinan yang ada.

“Kita masih melihat kemungkinan yang ada sekiranya pelaku adalah mereka di kawasan sekitar kawasan kanak-kanak itu hilang.

“Sebab itu saya cakap, sesiapa ada di dalam sekitar kawasan itu datanglah membantu menyelesaikan perkara ini,” jelasnya.

Tambah beliau, siasatan juga tidak menolak kemungkinan suspek terlibat dengan pembunuhan itu tahu selok belok kawasan tempat mayat kanak-kanak itu ditemukan.

“Apa yang kita akan buat sekarang adalah dengan meneliti semula lokasi kejadian semampu yang boleh,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid mengesahkan kepada Utusan Malaysia, terdapat kesan jerut dan kecederaan di badan mangsa.

Kata beliau, usaha mengesan suspek yang terlibat sedang giat dilakukan selain keterangan beberapa saksi akan diambil sekali lagi.

Pihaknya juga akan panggil semua saksi terdekat dengan kes ini termasuk ibu bapa, jiran dan orang awam yang jumpa mangsa.

Terdahulu, hasil bedah siasat menemukan terdapat kecederaan di leher dan badan Zayn Rayyan.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil bedah siasat ke atas kanak-kanak terbabit mendapati ada unsur jenayah.

Susulan itu, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya