PETALING JAYA: Polis mengesahkan menahan tiga individu yang disyaki penagih dadah selepas saringan DNA besaran-besaran dilakukan ke atas penduduk di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada Ahad lalu.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, ketiga-tiga yang ditahan adalah penduduk di kawasan tersebut dan didapati mereka positif dadah.
Bagaimanapun, menurut beliau, ketiga-tiga yang ditahan tiada kaitan dengan siasatan membabitkan pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.
“Kebetulan ketika kami melakukan mass DNA screening itu, mereka positif dadah, jadi kita tahan bagi lalukan ujian air kencing untuk tindakan lanjut.
“Mereka tiada kaitan dengan siasatan ini,” katanya ketika dihubungi.
Hussien semalam mengesahkan, keputusan berkaitan ujian DNA secara beramai-ramai penduduk dijangka diperoleh dalam tempoh dua sehingga tiga hari.
Ahad lalu, polis memaklumkan seramai 228 individu telah diambil ujian DNA melibatkan pemeriksaan unit rumah dan premis perniagaan di sini.
Dapatan terbabit berdasarkan pemeriksaan dijalankan melibatkan 18 blok yang menempatkan 2,484 unit rumah.- UTUSAN