Tidak perlu bincang pilihan raya PBT, UMNO tidak setuju - Utusan Malaysia

Tidak perlu bincang pilihan raya PBT, UMNO tidak setuju

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ruang perbincangan mengenai pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak perlu apatah lagi jika tindakan untuk meneliti perkara tersebut perlu dibuat bersama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia tidak mendapat persetujuan menteri-menteri UMNO dalam Kabinet kerana perkara tersebut melibatkan pindaan, sekali gus memerlukan persetujuan semua pihak.

Asyraf yang juga Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia berkata, pihaknya akan menyatakan secara jelas pendirian UMNO khususnya dalam menolak pilihan raya PBT diadakan semula.

“Tidak perlu pun untuk memberi ruang perbincangan kerana akan menyulitkan proses kita untuk memastikan kesejahteraan hidup masyarakat khususnya aspek ekonomi, kos sara hidup dan ekonomi rakyat.

“Dan kalau tetap dibawa ke peringkat perbincangan KPKT, ia perlu melalui mesyuarat Kabinet kerana melibatkan beberapa pindaan yang harus dilakukan. Dan saya selaku ketua sekretariat Kerajaan Perpaduan akan menyuarakan dengan tegas pendirian kita dan sebab mengapa kita tidak bersetuju untuk pilihan raya PBT,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa akan mengadakan perbincangan dengan menteri KPKT, Nga Kor Ming berhubung cadangan me­ngadakan pilihan raya PBT khususnya di ibu negara.

Dr Zaliha berkata, beliau mengambil maklum cadangan berkenaan dan tidak menolak mengenai kepentingannya sepertimana dikemukakan sesetengah pihak, namun perkara itu perlu diperhalusi secara mendalam.

MENYEMARAKKAN

Kenya­taan itu dikeluarkan susulan Pengerusi DAP Kuala Lumpur Tan Kok Wai menggesa kerajaan memulakan pilihan raya PBT di ibu negara terlebih dahulu bagi menyemarakkan demokrasi di Wilayah Persekutuan.

Mengulas lanjut, Asyraf turut berkata, setakat ini tiada perbincangan isu pilihan raya PBT dibawa ke mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan, sekali gus berpandangan kenyataan itu adalah pendapat peribadi dan tidak mewakili parti.

“Kita memang ada mesyuarat Kerajaan Perpaduan, tiada pun yang menyebut isu ini. Jadi pada saya pandangan peribadi yang akhirnya Kerajaan Perpa­duan akan memutuskan mengenai perkara itu.

“Kalau KPKT nak bincang, itu kita serahkan kepada mereka, tetapi KPKT tiada kuasa nak buat pindaan kerana ia perlu di bawa dalam Kabinet,” katanya lagi. Kali terakhir Malaysia me­ngadakan pilihan raya PBT pada 1963.

Penggantungan sementara itu menjadi kekal pada 1976 apabila Parlimen meluluskan Akta Kerajaan Tempatan menyebabkan pilihan raya kerajaan tempatan dimansuhkan dan hanya memperuntukkan pelantikan ahli majlis tempatan.

Ketika ini, terdapat 151 PBT di seluruh negara, dengan 19 daripadanya berstatus majlis bandar raya atau dewan bandar raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN