Tidak buat e-Filing antara punca gagal tebus RM100 eMadani - Utusan Malaysia

Tidak buat e-Filing antara punca gagal tebus RM100 eMadani

eMadani boleh ditebus mulai 4 Disember hingga 20 Februari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tidak mengisytihar pendapatan menerusi sistem e-Filing antara punca permohonan inisiatif kredit RM100 eMadani tidak diluluskan walaupun berkelayakan termasuk berpendapatan setahun RM100,000 dan ke bawah.

Tinjauan Utusan Malaysia ramai merungut apabila permohonan eMadani mereka gagal kerana bukan sahaja tidak pernah melakukan pengisytiharan pendapatan, malah tidak mempunyai akaun e-Filing Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Tiga syarat untuk mendapat inisiatif kredit RM100 harus kalangan mereka pendapatan RM100,000 dan ke bawah setahun berdasarkan rekod LHDN pada 15 Julai, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berdasarkan rekod pada 7 November dan berstatus warga Malaysia serta mencapai umur 21 tahun ke atas.

Seorang pekerja swasta yang mahu dikenali sebagai Mohd. Aizat, 23, memaklumkan permohonan untuk mendapat RM100 eMadani yang dibuka Isnin lalu gagal kerana dia tidak pernah melaporkan pendapatan kepada LHDN kerana baharu berkerja pada Jun lalu.

Katanya, dia juga tidak mengetahui bahawa kelayakan inisiatif itu perlu mempunyai rekod percukaian.

“Saya pun pelik pendapatan tidak sampai RM100,000 setahun, tapi hasil permohonan eMadani RM100 tidak lulus setelah permohonan dibuat semalam. Bila semak, rupanya kena ada rekod LHDN dan saya tidak pernah ada buat e-Filing selama ini,” katanya ketika ditemui di sini.

KREDIT

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, tuntutan kredit secara sekali bayar itu akan memberi manfaat kepada 10 juta rakyat dewasa yang layak, melibatkan peruntukan RM1 bilion.

Semalam, Kementerian Kewangan memaklumkan me­nerima lebih tujuh juta permohonan bagi kredit eMadani setakat pukul 5 petang kelmarin (Isnin).

Bantuan itu disasarkan bagi rakyat berpendapatan tahunan RM100,000 dan ke bawah melibatkan golongan dewasa ber­usia 21 tahun ke atas dalam kalangan B40 serta M40

Masalah sama dihadapi seorang belia yang mahu dikenali sebagai Muhammad Amirul, 24, apabila dia tidak dapat menuntut RM100 kerana mengakui tidak pernah membuat e-Filing pada tahun ini.

Namun, dia berharap kerajaan membuka rayuan kepada mana-mana pihak yang gagal permohonan agar diberikan peluang berbuat demikian.

“Sudahlah eMadani tidak dapat, STR pun tidak ada walaupun gaji bulanan bawah RM2,800 iaitu cukup lebih layak. Mungkin saya terlepas laporan pendapatan kepada LHDN,” katanya.

Muhammad Amirul mempersoalkan bagaimana dengan kalangan suri rumah dan tidak bekerja yang tidak mempunyai rekod sekali gus menunjukkan mereka tidak dapat menerima manfaat kredit RM100 tersebut.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, inisiatif kredit RM100 eMadani hanya dibuka kepada warga Malaysia mencapai umur 21 tahun ke atas yang berpendapatan RM100,000 dan ke bawah setahun berdasarkan rekod LHDN atau penerima STR. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN